Skip to content

Persoalan berkenaan kesediaan Kerajaan Persekutuan dalam perlaksanaan penuh PKP di Selangor

Dua hari lalu, telah kecoh berkenaan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mencadangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dan lebih ketat di Selangor. Hari ini pula, ada yang menuduh Kerajaan Selangor menolak cadangan PKP secara penuh tanpa memahami intipati kenyataan rasmi Selangor Task Force Covid-19 (STFC) secara terperinci.

STFC hanya meluahkan kebimbangan mereka terhadap ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat sekiranya perlaksanaan PKP secara penuh dijalankan, namun kerisauan ini seolah-olah tidak bernilai untuk diambil kisah oleh Kerajaan Persekutuan. Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa Selangor tidak menghalang perlaksanaan penuh PKP yang dimahukan oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, Kerajaan Persekutuan seharusnya memandang berat tentang keadaan nyawa rakyat Malaysia dan mengamalkan rasa empati serta memikirkan kesan perlaksanaan ini terhadap sumber mata pencarian dan kehidupan rakyat.

Terdapat beberapa persoalan yang pihak Kerajaan Persekutuan dan juga KKM perlu perjelaskan:

  1. Selangor merupakan negeri dengan jumlah populasi penduduk tertinggi di Malaysia, serta penjana utama GDP dan ekonomi Malaysia. Kedua-dua faktor ini semestinya menyumbang kepada jumlah kes Covid-19 yang semakin melonjak di negeri ini. Namun, Selangor menduduki antara tempat terakhir dalam tangga jumlah penerimaan vaksin per populasi, iaitu hanya 3.6% berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Labuan, Perlis dan Putrajaya dimana peratusan penerimaan vaksin per populasi kawasan-kawasan tersebut adalah di antara 10% hingga 22%.
  2. Walaupun terbukti betapa kritikalnya keperluan penerimaan vaksin di Selangor sebagai penjana ekonomi negara yang tertinggi, namun, mengapa berlakunya kelewatan dalam pemberian vaksin di Negeri Selangor berbanding negeri lain?

  3. Taktala Kerajaan Selangor sedang bekerja keras bagi membendung kes Covid-19 di Selangor yang sedang melonjak, pelbagai inisiatif sedang giat dijalankan oleh pihak Kerajaan Selangor seperti penubuhan STFC, perlaksanaan Prevention of Outbreak at Industry Sites (POIS), penambahan sukarelawan bagi melancarkan operasi di Pusat Penilaian Covid (CAC), penganjuran ujian saringan Covid-19 pada skala besar secara percuma dan sebagainya. Namun, semua perlaksanaan in perlu dilaksanakan dengan kerangka strategi yang efektif.
  4. Malangnya, mengapa permohonan perkongsian Kerajaan Selangor untuk mendapatkan data daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu perancangan strategi yang lebih efektif tidak diendahkan?

  5. Dan pertanyaan yang paling mustahak, ketika Kerajaan Persekutuan kini beriya-iya ingin melaksanakan PKP secara penuh, adakah Kerajaan Persekutuan juga telah memikirkan penyelesaian terhadap sektor ekonomi di Selangor yang bakal mengalami kesengsaraan sekiranya tidak mempunyai jalan keluar apabila PKP secara penuh ini dilaksanakan tanpa perancangan yang baik? Bukankah Kerajaan Persekutuan yang selalu membuat keputusan yang berbolak-balik dan sering kali berubah dengan alasan ingin menyimbangi antara aspek kesihatan rakyat dan ekonomi? Adakah kini Kerajaan Persekutuan berniat untuk lepaskan tangan pula?

Sebagai Kerajaan Persekutuan yang mencorakkan nasib dan halatuju negara, Kerajaan Persekutuan seharusnya lebih prihatin dan berhati-hati ketika mengambil keputusan yang bakal membawa kesan pada berjuta-juta nyawa rakyat yang menjadi amanah dan tanggungjawab pemimpin. Sekiranya tidak, sebarang keputusan sambil lewa mampu mengakibatkan kelumpuhan ekonomi negara dan memberi kesan kepada rakyat.

Secara peribadi, saya berpandangan penyekatan kes Covid-19 tidak akan berjaya hanya dengan perlaksanaan PKP secara penuh. Berdasarkan perkongsian pengalaman di negara-negara lain yang mampu membendung kes Covid-19, kejayaan utama adalah kerana berdasarkan perlaksanaan pelbagai strategi secara bersasar dan menyeluruh. Kejayaan di negara-negara ini adalah hasil gabungan strategi pemvaksinan, saringan berskala besar, pengesanan kontak dan garis panduan SOP yang berkesan.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan masih mahu melaksanakan PKP secara penuh dan masih memandang serius terhadap kebajikan rakyat di negara ini, maka Kerajaan Persekutuan seharusnya mengintegerasikan pakej rangsangan ekonomi khas dalam perlaksanaan PKP secara penuh khususnya untuk Selangor. Ini bermaksud, ketika Kerajaan Persekutuan mengeluarkan garis panduan PKP secara penuh, pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan wajib merangka bantuan kewangan kepada semua warga Selangor yang terjejas. Atau ketika warga Selangor tidak dibenarkan keluar bekerja (terutama sekali sektor yang memerlukan tenaga kerja secara fizikal), pastikan Kerajaan Persekutuan mempunyai sistem yang cekap bagi mengesan golongan B40 yang memerlukan bantuan keperluan asas dan bertindak pantas dalam menghulurkan pertolongan.

Akhir kata, saya berharap Kerajaan Persekutuan jangan menonjolkan sifat berat sebelah terhadap Selangor. Percepatkan proses vaksinasi di Selangor yang berperanan penting sebagai pusat ekonomi negara. Kongsikan data-data penting bersama Kerajaan Negeri Selangor supaya kita dapat membendung Covid-19 secara lebih berkesan. Seterusnya, wujudkan pakej rangsangan ekonomi khas untuk Selangor bersama perlaksanaan PKP secara penuh. Jangan lupa, warga Selangor juga rakyat Malaysia.