KENYATAAN MEDIA
Persoalan daripada Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli berhubung papan tanda tiga bahasa di Pasar Awam Ayer Tawar jelas menunjukkan perbezaan antara Kerajaan MADANI dan Perikatan Nasional. Saya menyeru seluruh rakyat untuk terus menyokong Kerajaan MADANI bagi memastikan Malaysia tidak dipimpin oleh pemimpin-pemimpin ekstrim yang memecahbelahkan masyarakat majmuk kita.
Saya mengecam sekeras-kerasnya persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli baru-baru ini berkenaan keperluan papan tanda pelbagai bahasa di Pasar Awam Ayer Tawar, kerana kenyataan tersebut bukan sahaja mendedahkan agenda politik beliau yang ekstrem malah juga bermotif untuk mencetuskan sentimen perkauman dan menimbulkan ketegangan. Tindakan YB Ahmad Fadhli jelas memperlihatkan perbezaan ketara antara Kerajaan MADANI dan Perikatan Nasional dalam arah tuju pentadbiran negara, di mana Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk memupuk semangat perpaduan kaum dan meraikan kepelbagaian, manakala Perikatan Nasional terus memainkan sentimen perkauman untuk kepentingan politik mereka.
Papan tanda pelbagai bahasa bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia, malah ia adalah lambang penting kepada masyarakat majmuk negara ini. Papan tanda di Pasar Awam Ayer Tawar yang menggunakan Bahasa Melayu, Cina, dan Tamil mencerminkan latar belakang masyarakat berbilang kaum di negara ini dan kawasan tersebut, selain membantu rakyat memahami maklumat awam dengan lebih baik. Ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sambil menghormati hak penggunaan bahasa ibunda setiap kaum. Ia juga selari dengan semangat muhibbah yang telah lama dipraktikkan di negara ini.
Kerajaan MADANI bersifat sederhana dan inklusif, serta sentiasa berusaha mengekalkan perpaduan nasional. Sebaliknya, kenyataan YB Ahmad Fadhli mencerminkan strategi politik ekstrem Perikatan Nasional yang sering menggunakan sentimen perkauman untuk menutup kelemahan mereka dalam pentadbiran dan mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum.
Saya menggesa pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional seperti YB Ahmad Fadhli agar berhenti menyebarkan kenyataan yang memecahbelahkan rakyat dan mempergunakan isu perkauman demi kepentingan politik sendiri. Pada masa yang sama, saya menyeru seluruh rakyat untuk terus teguh menyokong dasar Kerajaan MADANI yang progresif dan inklusif termasuklah memastikan papan tanda pelbagai bahasa tidak diganggu oleh ahli politik seperti YB Ahmad Fadhli. Perpaduan di Malaysia tidak boleh dicapai melalui perpecahan, tetapi hanya dengan sikap saling menghormati dan memahami.