Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, yang mencadangkan supaya kerajaan mengubah suai Tugu Negara dengan alasan bahawa patung-patung pada monumen itu kelihatan seperti orang Eropah dan tidak menggambarkan wajah rakyat Malaysia.
Saya amat kecewa dan kesal terhadap kenyataan sebegini yang mencerminkan sikap cetek terhadap sejarah serta tidak menghormati semangat pengorbanan wira-wira negara.
Tugu Negara dibina bagi memperingati anggota keselamatan yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan dan mencapai kemerdekaan tanah air.
Tujuh patung gangsa pada monumen itu masing-masing melambangkan kepimpinan, pengorbanan, perpaduan, kekuatan, keberanian, kewaspadaan dan penderitaan — nilai-nilai murni yang melangkaui sempadan kaum, agama dan rupa paras.
Seorang wira tidak diukur melalui warna kulit atau bentuk wajahnya, tetapi melalui semangat perjuangan dan jasa bakti terhadap tanah air.
Menjadikan Tugu Negara sebagai isu perkauman adalah tindakan tidak bertanggungjawab, malah menghina sejarah serta pengorbanan para perwira yang telah gugur.
Usaha kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad bagi kerja pemulihan Carcosa Seri Negara serta enam blok bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad bertujuan memulihara dan membangunkan semula bangunan ikonik negara sebagai mercu tanda bertaraf dunia yang mencerminkan warisan dan identiti Malaysia.
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif ini melambangkan kesinambungan sejarah dan semangat kebangsaan yang perlu dipertahankan.
Tugu Negara bukan sekadar hasil seni, tetapi simbol perpaduan dan keazaman rakyat Malaysia menentang penjajahan.
Kita mesti mempertahankan lambang ini dengan rasa hormat dan kesyukuran, serta menolak sebarang kenyataan sempit dan jahil yang cuba mencemarkan maruah serta nama baik wira negara.