Saya tertarik dengan peringatan daripada kawan dan laporan media bahawa soalan yang ditujukan kepada saya oleh ADUN UMNO dari Permatang, YB Sulaiman Abdul Razak pada dua hari yang lalu semasa saya mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor masih belum dijawab sepenuhnya.
Semasa soalan itu ditujukan kepada saya, saya telah menjawab bahawa terdapat perbezaan dalam kes YAB Ketua Menteri Pulau Pinang dan kes YAB Perdana Menteri tetapi saya tidak dapat memberi huraian panjang.
Pada masa yang sama, saya juga telah diingatkan bahawa kes ini telah dibawa ke mahkamah di mana sekiranya ADUN Permatang cuba membangkitkannya di dalam sidang DUN, sama ada dalam bentuk perbahasan ataupun dalam bentuk pertanyaan, ianya kemungkinan besar akan dianggap sebagai subjudice dan melanggar Peraturan-peraturan Tetap.
Apapun sekali, saya ingin mengingatkan Sulaiman Abdul Razak, bahawa tema ucapan saya tempoh hari ialah Fiat Justitia Ruat Caelum, atau maksudnya “Biar keadilan ditegakkan, walau langit terjatuh”. Maka undang-undang negara kita harus digunapakai secara saksama terhadap semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Bak pepatah Latin, nemo judex in causa sua, atau maksudnya “tiada sesiapapun boleh bertindak sebagai Hakim atas kepentingannya sendiri”. Jikalau YAB Lim Guan Eng tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang sama, begitu juga dengan YAB Datuk Seri Najib Razak.
Penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana individu yang telah melakukan kesalahan semata-mata untuk melepaskan dirinya daripada didakwa di mahkamah sememangnya sesuatu yang amat menjijikkan.