Skip to content

Perubahan pendirian Senator Wan Ahmad Fayhsal bahawa dia tidak bermaksud untuk mansuh dan tutup sekolah vernakular amat dialu-alukan, namun jangan jadi lidah bercabang, cakap di Parlimen satu macam, cakap di luar Parlimen lain macam pula

Dalam Dewan Rakyat kelmarin, Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Wan Ahmad Fayhsal, telah membelakangi pendiriannya pada tahun lepas untuk hapuskan sekolah vernakular.

Wan Faysal menjelaskan bahawa apa yang dia maksudkan “bukan mansuhkan tutup tapi ialah memantapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah vernakular”.

Antara banyak jenis u-turn, ini adalah satu perkembangan yang positif.

Saya amat mengalu-alukan perubahan pendirian Senator Wan Ahmad Fayhsal.

Namun saya berharap ini bukan kes lidah bercabang – cakap di Parlimen satu macam, cakap di luar Parlimen lain macam pula.

Sepatutnya, sekolah vernakular tidak harus dipolemikkan demi kepentingan politik sempit. Jangan hanya kerana hendak meraih undi sesetengah pihak, maka cuba menjadi hero kononnya hendak mansuh sekolah vernakular, tapi bila sudah duduk atas kerusi empuk jawatan Menteri dan Timbalan Menteri, nada berubah pula.

Hakikatnya, sekolah vernakular adalah sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang menggunakan sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia. Guru besar, tenaga pengajar serta anggota pentadbiran sekolah semuanya di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia. Justeru tidak wujud isu sekolah vernakular tidak mencerminkan semangat kebangsaan Malaysia.

Biarlah kita semua bersepakat dalam isu ini, daripada mempolemik dan mempolitikkan isu sekolah vernakular, lebih afdal kita berusaha untuk menambahbaik sistem pendidikan berlandaskan perkembangan sains dan teknologi masa kini, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu, memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris selaku bahasa komunikasi antarabangsa, serta menghormati pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda setiap kaum yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.