Skip to content

Peruntukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi Program Emas, Agenda Ekonomi Saksama, Pegawai Masjid, Guru Kafa, Hufaz dan Guru Agama Tahfiz/Pondok/Tadis

Salam Sejahtera.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang yang memerintah sejak 2008 adalah Kerajaan Negeri yang Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dalam melaksanakan urus tadbir dan memikul amanah rakyat. Ianya terbukti dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Transparency International kepada Kerajaan Negeri sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem tender terbuka.

Dalam tempoh 8 tahun ini, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan berupaya membela secara saksama dan memberikan keadilan kepada semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum, agama, jantina atau latar belakang politik. Kerajaan Negeri mampu menjalankan pelbagai program sosial dan kebajikan melalui pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan dan inklusif. Urus tadbir Kerajaan Negeri yang bersih, boleh dilihat dengan:

a) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan menikmati lebihan belanjawan setiap tahun yang kini terkumpul sebanyak RM503 juta dalam tempoh 7 tahun pemerintahan (2008-2014) berbanding dengan lebihan RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957-2007) di bawah Kerajaan Negeri terdahulu. Jelas sekali 7 tahun Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memerintah Pulau Pinang lebih berkesan daripada 50 tahun sebelum ini;

b) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% sedangkan kebanyakan negara mengalami beban hutang Kerajaan yang meningkat 100% termasuk Kerajaan Persekutuan Malaysia;

c) Kadar pengangguran di Pulau Pinang dapat dikurangkan kepada 1.7%; dan

d) Kerajaan Negeri Pakatan Harapan dapat mengurangkan jurang ketidaksaksamaan pendapatan di antara golongan kaya dan miskin dengan Gini Coefficient yang sekadar 0.37 pada 2012 berbanding dengan 0.42 pada 2009, iaitu penurunan yang paling besar dalam tempoh 3 tahun ini di Malaysia.

Kami berhasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berkebajikan yang tidak bankrap!

Program Emas Negeri Pulau Pinang

Kerajaan Negeri pada setiap tahun memberikan sumbangan penghargaan RM100 kepada golongan warga emas; Orang Kurang Upaya (OKU); ibu tunggal dan suri rumah (ibu emas). Dalam pada itu, bagi meringankan beban ibu bapa, Kerajaan Negeri turut memberikan bayaran secara one-off RM100 kepada
Pelajar Tahun 1 & 4 dan Tingkatan 1 & 4 di bawah Skim Pelajar Emas; RM200 (one-off) melalui Program Anak Emas serta RM1,000 (one-off) kepada mahasiswa. Bagi meringankan beban waris warga emas, ibu tunggal dan OKU dalam pengurusan jenazah, Kerajaan Negeri memberikan bantuan secara one-off RM1,000.

Daftarlah sekiranya masih belum lagi mendaftar!

Jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan bagi Program Emas dari 2009 hingga 20 November 2015 adalah sebanyak RM176.06 juta. Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut:

No Program Perbelanjaan (RM)
1. Penghargaan Warga Emas Dan Waris 112,419,700
2. Bantuan Ibu Tunggal Dan Waris 5,408,500
3. Bantuan OKU Dan Waris 3,639,800
4. Skim Pelajar Emas 20,125,500
5. Ibu Emas 9,007,100
6. Anak Emas 11,474,200
7. Mahasiswa 13,981,000
Jumlah 176,055,800

Agenda Ekonomi Saksama (AES)

Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Agenda Ekonomi Saksama (AES) bagi memastikan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya RM790 sebulan. Mana-mana keluarga yang berpendapatan kurang daripada jumlah RM790, Kerajaan Negeri akan “tambah nilai” (top-up) sehingga genap RM790. Contohnya, sekiranya sebuah keluarga menerima RM600 sebulan, Kerajaan Negeri akan memberikan “tambah nilai” RM190 setiap bulan.

Peruntukan Kepada Pegawai Masjid, Guru KAFA, Hufaz dan Guru Agama Tahfiz/Pondok/TADIS

Sejak 2009 hingga 20 November 2015, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM28.16 juta seperti berikut:

Tahun Perbelanjaan (RM)
Pegawai Masjid Guru KAFA Hufaz Guru Agama Tahfiz/Pondok/
TADIS
2009 1,381,296 879,000
2010 1,387,680 1,400,700 100,000
2011 2,089,920 1,884,500 130,000
2012 2,465,064 1,891,900 175,000 99,000
2013 2,521,008 2,317,900 250,000 95,400
2014 2,521,008 1,748,700 237,500 284,700
*2015 2,543,990 1,341,600 260,490 150,400
Jumlah 14,909,966 11,464,300 1,152,990 629,500
Jumlah Besar

28,156,756

*Perbelanjaan 2015, belum mengambil kira bayaran Bantuan Khas Kewangan akhir tahun

Amat jelas sekali, Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh mencatatkan lebihan Belanjawan tanpa perlu mengenakan GST kerana mengamalkan pentadbiran bersih. Kerajaan Negeri tidak bankrap sungguhpun tidak ada GST.

Sememangnya terbukti bahawa urus tadbir bersih, cekap dan baik Kerajaan Negeri Pakatan Harapan membolehkan rakyat Pulau Pinang menikmati faedah dividen anti-rasuah secara bersama. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan meneruskan usaha untuk menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan negeri berkebajikan yang pertama di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang