Kini adalah masanya untuk Kerajaan Malaysia bertindak segera melaksanakan dasar bantuan kewangan kepada perniagaan tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS), bagi menyelamatkan mereka daripada krisis kelangsungan operasi akibat peningkatan kos susulan konflik di Timur Tengah. Peningkatan kos logistik, ketidaktentuan harga bahan mentah, serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik semasa di Timur Tengah, termasuk ancaman Iran untuk menaikkan harga minyak sehingga USD200 setong berikutan keupayaannya menutup Selat Hormuz kepada laluan perkapalan, telah memburukkan lagi keadaan.
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia telah memberi amaran bahawa pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2026 boleh menyederhana kepada antara 3.8% hingga 4.2% sekiranya konflik ini memuncak, berbanding anggaran Bank Negara Malaysia iaitu antara 4% hingga 5%. Persatuan PKS Malaysia pula telah memohon moratorium pinjaman atau penangguhan bayaran balik selama enam bulan secara bersasar bagi PKS yang terjejas.
Nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) di Malaysia kini kekal pada tahap sihat iaitu 1.4% daripada jumlah pinjaman setakat Januari 2026. Namun begitu, beberapa bank memberi amaran bahawa tekanan kewangan dalam kalangan peminjam dijangka semakin meruncing. Walaupun PKS telah lama memohon campur tangan kerajaan bagi memastikan sokongan pembiayaan, kemudahan eksport dan pengurangan kos, PKS yang terjejas akibat peningkatan kos operasi kini amat memerlukan bantuan kerajaan melalui tiga langkah jangka pendek berikut:
1. Moratorium pembayaran faedah pinjaman bank sehingga akhir tahun ini;
2. Moratorium terhadap peningkatan cukai, kos peraturan dan pematuhan, termasuk menangguhkan kenaikan SST, pelaksanaan e-invois serta caruman KWSP sebanyak 2% bagi pekerja asing yang berkuat kuasa sejak akhir tahun lalu; dan
3. Peruntukan RM5 bilion untuk menyediakan pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran sebanyak RM50,000 kepada 100,000 PKS, bersama geran dan subsidi bersasar lain.