Kerajaan perlu segera menyediakan peruntukan bagi pengambilan seramai empat orang anggota polis tambahan bagi kesemua 837 balai polis di dalam negara, dengan keseluruhan berjumlah 3,348 anggota polis tambahan untuk memastikan balai polis dapat terus berkhidmat kepada orang ramai. Selepas Menteri Dalam Negeri, Senator Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan di Parlimen bahawa pintu balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar akan ditutup selepas jam 10 malam, ada pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan untuk mentertawakan pasukan polis dengan memutarbelitkan kenyataan Saifuddin yang mengarahkan balai polis ditutup selepas jam 10.00 malam.
Jelas Saifuddin, penutupan pagar di balai polis adalah langkah keselamatan yang perlu berikutan serangan pengganas oleh pelampau di balai polis Ulu Tiram di Johor yang telah mengorbankan nyawa dua orang anggota polis. Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberi jaminan kepada orang ramai bahawa polis akan meneruskan perkhidmatan seperti biasa biarpun balai polis diarah menutup pintu selepas jam 10 malam.
Apa yang paling dikesalkan ialah pemimpin MCA telah menggunakan peluang ini untuk mentertawakan, mencemuh dan menghina baik Saifuddin dan juga pasukan polis, sama sekali tidak mengendahkan peranan penting yang dimainkan oleh anggota polis kita yang sentiasa bertaruh nyawa untuk mencegah jenayah dan menjaga keselamatan rakyat Malaysia. Malangnya, gelakkan, cemuhan dan penghinaan tersebut juga mendapat sokongan dengan beberapa orang yang lain pula mempersoalkan mengapa hospital awam dan kedai serbaneka boleh memastikan pintu masuk mereka dibuka 24 jam sehari tetapi bukan pula balai polis, walhal polis sepatutnya memastikan kita selamat daripada penjenayah?
“Bagaimana polis akan menjaga keselamatan kita semua jika mereka tidak dapat memastikan balai polis mereka selamat?” adalah contoh soalan yang kini kita dengar selepas serangan keji oleh MCA.
Bagi mengelak polis dan Saifuddin menjadi sasaran secara tidak adil sebagai bahan ejekan, lebih ramai anggota polis perlu diambil untuk mengawal balai bagi membolehkan pintu pagar di balai terus dibuka. Perlu ada pembiayaan segera oleh kerajaan untuk pengambilan tambahan empat anggota polis, dengan tiga anggota polis secara bergilir-gilir akan mengawal balai polis dan seorang lagi sebagai anggota simpanan, bagi setiap 837 balai polis di dalam negara.
Tambahan seramai 3,348 anggota polis ini juga akan membantu jumlah semasa iaitu seramai 134,978 anggota dan pegawai polis di seluruh negara. Malah 134,978 anggota polis pada masa ini sebenarnya masih tidak mencukupi dengan laporan kekurangan seramai 4,940 anggota polis. Sekiranya kekurangan 4,940 anggota polis dapat diisi dan tambahan 3,348 anggota polis diambil untuk memastikan pintu balai polis terbuka, pasukan polis akan meningkat dengan kekuatan 143,266 anggota.
Tambahan perbelanjaan bagi membolehkan lantikan lebih ramai anggota polis akan disokong sepenuhnya oleh rakyat yang sudah tentu mahukan rumah dan jalan mereka kekal selamat dan terjamin daripada sebarang jenayah.