Skip to content

Peruntukan tambahan sebanyak RM510 juta untuk tanam semula dan tanam baru bagi pekebun-pekebun kecil untuk 3 tahun akan datang adalah dialu-alukan tetapi Kerajaan digesa menyediakan dana tersebut dengan segera

Saya telah pada sidang media pada 23 Mac 2017 di Parlimen membawa kepada perhatian orang ramai bahawa Kerajaan telah mengurangkan peruntukan tanam semula yang melibatkan 1.0 juta pekebun-pekebun kecil sebanyak 85% daripada peruntukan purata sebanyak Rm200 juta setahun untuk tempoh 2010-2015 kepada Rm30 juta sahaja untuk tahun 2017.

Saya telah berkali-kali membawa isu ini dalam ceramah umum untuk memberi tekanan kepada Kerajaan supaya jangan menidakkan hak 1.0 juta pekebun-pekebun kecil tersebut.

Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 18hb Mei 2017 ( Khamis ) bahawa peruntukan tambahan sebanyak RM 510 juta untuk tanam semula atau tanam baru kelapa sawit untuk 3 tahun akan datang bagi pekebun-pekebun kecil. Saya mengesah Kerajaan supaya menyediakan keseluruhan peruntukan tambahan tersebut dengan segera kerana terdapat banyak kes-kes pekebun-pekebun kecil yang tertunggak dimana pekebun-pekebun kecil tidak dapat tanam semula atau tanam baru beberapa tahun ini kerana tidak ada peruntukan yang mencukupi bagi maksud tersebut.

Ramai pekebun-pekebun kecil tidak dapat menunggu untuk menanam semula/tanam baru kerana mereka tidak pasti samada Kerajaan akan memberi peruntukan tambahan untuk mereka tanam semula/tanam baru kebun mereka. Polisi Kerajaan sekarang ialah menghukum mereka dengan tidak membayar wang tanam semula/ tanam baru yang telah mereka dahulukan. Pekebun-pekebun kecil sedemikian yang mempunyai semangat keusahawanan dan mempunyai initiatif sendiri harus dipuji dan diberi ganjaran dan tidak harus dihukum. Saya mengesa Kerajaan supaya mengkaji semula polisi Kerajaan sekarang dan membayar kepada pekebun-pekebun kecil yang telah tanam semula/tanam baru dengan dana sendiri apabila Kerajaan telah kekeringan dana untuk maksud tersebut.