Daripada audit yang dilakukan pada Julai 2018, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendapati 541 buah agensi Kerajaan termasuk agensi Kerajaan Negeri tidak mempunyai TASKA (Taman Asuhan Kanak-kanak) di Tempat Kerja.
Menerusi Belanjawan 2019, Kerajaan Harapan memperuntukkan RM10 juta bagi menubuhkan 50 buah TASKA di Tempat Kerja baharu di agensi Kerajaan dan berjaya menubuhkan sebanyak 65 buah TASKA di seluruh negara.
Manakala dalam Belanjawan 2020, Kementerian Kewangan pada masa itu memperuntukkan sebanyak RM30 juta, iaitu peningkatan sebanyak 3 kali ganda berbanding tahun 2019. Bagaimanapun hanya RM5.5 juta dibelanjakan untuk penubuhan 34 buah TASKA di Tempat Kerja.
Peningkatan sebanyak RM30 juta itu sepatutnya dapat menyediakan sekurang-kurangnya 200 buah TASKA di Tempat Kerja di agensi Kerajaan. Namun, baki sebanyak RM24.5 juta tersebut telah disalurkan untuk tujuan lain iaitu PENJANA (termasuk bantuan khas TASKA swasta).
Realitinya hari ini, masih terdapat ramai ‘frontliners’ yang tidak mempunyai sokongan penjagaan anak. Ada yang terpaksa mengambil cuti atau menghantar anak ke rumah pengasuh/TASKA swasta. Ini melibatkan kos yang lebih tinggi kerana kerja syif yang tidak menentu. Isu penyediaan TASKA di tempat kerja untuk ‘frontliners’ ini sangat kritikal bagi memastikan Malaysia dapat melawan Covid-19 dengan berkesan. Jika kebajikan keluarga ‘frontliners’ tidak dijaga, nescaya prestasi kerja mereka di lapangan akan terjejas.
Oleh itu, saya menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengembalikan RM30 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 kepada tujuan asalnya, iaitu menubuhkan lebih banyak TASKA di Tempat Kerja untuk ‘frontliners’ terutamanya di hospital, balai polis dan agensi Kerajaan yang beroperasi secara syif. Belanjawan 2021 mesti menjadikan ini satu keutamaan.