Skip to content

Perutusan Deepavali oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Esok, masyarakat beragama Hindu bakal menyambut perayaan Deepavali. Diibaratkan sebagai Pesta Cahaya, nyalaan pelita yang sinonim sebagai lambang kemenangan ke atas kuasa kejahatan ini secara simboliknya memberi maksud dan pengertian yang sangat bermakna terutamanya terhadap penerapan nilai-nilai positif dalam kehidupan.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 telah mengubah keseluruhan landskap serta kelaziman termasuklah perayaan Deepavali tahun ini. Kini, amalan dan tradisi ‘balik kampung’ serta upacara keagamaan adalah terhad serta disambut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kerajaan Negeri memahami situasi sukar ini dan berharap agar rakyat Pulau Pinang terutama mereka yang bakal menyambut perayaan Deepavali untuk meraikannya secara bersederhana dan mematuhi peraturan-peraturan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana yang telah digariskan. Saya berharap semua memahami bahawa keputusan yang dilaksanakan adalah berdasarkan fakta, justeru, kita perlu menerima hakikat bahawa situasi semasa kini adalah memerlukan pelaksanaan PKPB.

Sememangnya, sambutan perayaan dalam normal baharu sebegini adalah suatu kelainan namun hakikatnya dengan kepelbagaian penawaran kemudahan serta perkhidmatan jalur lebar dalam era teknologi digital masa kini, kita masih boleh berhubung secara dua hala terutamanya dengan orang tersayang iaitu ibu bapa di kampung dan sanak saudara sepanjang musim perayaan berkenaan.

Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, komuniti India terus diperkasakan. Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang diangkat menjadi organisasi penting dalam membantu komuniti India di negeri ini. Antaranya, bantuan pendidikan kepada pelajar yang berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi; pengurusan kuil-kuil serta krematorium ditambah baik dan bantuan perubatan kepada yang memerlukan. Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta kepada HEB Pulau Pinang bagi tujuan tersenarai pada tahun hadapan.

Di samping itu, bagi tahun 2021 juga, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana pendidikan sebanyak RM2 juta bagi tujuan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan RM150,000 masing-masing kepada tadika-tadika di sekolah Tamil seluruh negeri ini. Dana berjumlah RM150,000 turut disalurkan kepada Tabung Khas Sekolah Tamil dan peruntukan RM90,000 turut diberikan untuk tujuan pembangunan sekolah-sekolah Punjabi di Pulau Pinang. Secara keseluruhan, sehingga tahun ini, seramai 109 pelajar layak telah menerima biayaan biasiswa daripada HEB Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan RM157,450 bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Inisiatif serta pendekatan yang diambil membuktikan bahawa Kerajaan Negeri terus meletakkan agenda memperkasakan modal insan sebagai keutamaan selaras dengan tema Belanjawan 2021 Pulau Pinang iaitu ‘Transformasi Pemulihan dan Ketahanan Ekonomi ke Arah Dimensi Baharu Terbilang’. Malah, ia turut berkait rapat dengan Tema C1 dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara iaitu meningkatkan taraf kehidupan khususnya dalam kalangan komuniti rentan serta mengurangkan ketidaksamaan dalam aspek pendidikan bagi memastikan segala perancangan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh demi kelangsungan Negeri Pulau Pinang tercinta.

Akhir kata, saya berharap Cahaya Deepavali pada tahun ini akan sentiasa menyinari kehidupan masyarakat beragama Hindu di Pulau Pinang. Sebagaimana kita maklum, wabak COVID-19 ini telah berada dalam komuniti kita. Sambutlah perayaan Deepavali secara sederhana dengan menitikberatkan penjagaan kendiri, patuhi SOP dan amalkan amalan 4P (Penjarakan fizikal; Pakai pelitup muka; Pencucian tangan dengan sabun dan Perhatikan gejala COVID-19). Setiap seorang daripada kita adalah frontliners, justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bersama-sama putuskan rantaian jangkitan pandemik ini.

Tidak terkecuali, bagi anggota keselamatan dan barisan hadapan yang perlu bertugas semasa musim perayaan ini, jasa dan pengorbanan anda adalah amatlah dihargai. Dengan seikhlas hati, saya doakan semoga semua diberikan kecekalan mental dan kekuatan fizikal dalam melaksanakan tugas demi kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang khususnya.

Deepavali Naal Vaazhthukkal!