Skip to content

Perutusan Hari Deepavali oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak jentera Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat India di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya yang bakal meraikan ‘Pesta Cahaya’ sebagai simbolik kemenangan melawan kezaliman.

Mempunyai kepercayaan serta adat yang unik dan tersendiri seperti mana perayaan lain, Deepavali disambut dengan penuh meriah dengan nyalaan pelita sebagai lambang kejayaan serta kebaikan yang dikecapi. Ia juga adalah simbolik bagi memberi peringatan kepada penganut agama berkaitan untuk sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Melihat daripada konteks kehidupan sedia ada, kejayaan yang dilambangkan melalui ‘cahaya’ ini seharusnya menjadi pemangkin serta pengukur kepada usaha kita demi memberi harapan serta sinar lebih baik kepada semua aspek yang ada.

Melalui Visi Penang2030, Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang menjelang tahun 2030 nanti menjadi agenda terbaik untuk setiap lapisan rakyat. Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2020 yang bakal diumumkan menjelang November ini akan terus memberi tumpuan dan keutamaan kepada program-program sosial berteraskan kebajikan di samping mengekalkan pendapatan atau revenue yang mencukupi bagi menyokong pembangunan di negeri ini.

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan mencari peluang serta ruang yang mungkin wujud untuk menjalinkan kerjasama erat di antara pihak swasta bagi membolehkan inisiatif pembayaran swasta atau Private Finance Initiative (PFI) untuk projek-projek pembangunan mega seperti Pelan Pengangkutan Pulau Pinang atau Penang Transport Master Plan (PTMP) khususnya dapat direalisasikan sebagaimana direncanakan.

Segala perincian, perancangan serta pelaksanaan ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa penglibatan seluruh sistem sokongan yang ada. Kerajaan Negeri amat bertuah kerana mempunyai sistem sokongan hebat dan berwibawa berpaksikan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini.

Dalam usaha untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini, pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan pelbagai projek khas pada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Menerusi HEB juga, tanah-tanah perkuburan Hindu turut dipulihkan serta diguna pakai secara baik untuk keselesaan para penganut. Malah, sejak ditubuhkan pada 2008, HEB telah memberi bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000). Turut tersenarai adalah sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam atau ‘Waterfall Hilltop Temple’ sempena perayaan Thaipusam saban tahun.

Umumnya, adalah menjadi komitmen penuh Kerajaan Negeri untuk terus memartabatkan keperluan serta pembangunan masyarakat India di negeri Pulau Pinang dan sama sekali golongan ini tidak akan diketepikan. Kerajaan Negeri adalah bersifat terbuka dan akan sentiasa memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada pandangan-pandangan berkenaan agar aspek perkhidmatan dapat diperkasakan sebagai nilai tambah kepada pembangunan rakyat serta negeri ini secara inklusif dan menyeluruh.

Deepavali Naal Vaazhthukkal!