Kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang dikasihi,
Hari Kebangsaan merupakan ‘hari kebebasan’ yang diraikan oleh kita bergelar rakyat Malaysia dan setelah dua tahun kita berjuang di medan perang COVID-19, tahun ini kita kembali ‘bebas’ meneruskan kelangsungan kehidupan ke arah yang lebih baik berlandaskan semangat patriotisme jitu supaya kita semua dapat hidup bersatu padu dan penuh harmoni.
Jika dahulu semangat perjuangan adalah dari aspek menentang penjajahan asing yang menjajah negara kita, kini semangat sama dicurahkan untuk mempertahankan keselamatan serta kesihatan dalam berdepan dengan ‘penjajahan’ pandemik bagi meneruskan pembangunan negara dan juga negeri Pulau Pinang khasnya demi merealisasikan Visi Penang2030.
Bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara, di Pulau Pinang, pelbagai program yang menjadi instrumen penyatuan rakyat dianjurkan dari semasa ke semasa, selari dengan semangat cintakan negeri melalui kempen ❤️PENANG yang telah dilancarkan. Malah, Jalur Gemilang yang menjadi manifestasi kemegahan dan instrumen sejagat harus terus dikibarkan dengan rasa bangga sekali gus menyemarakkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum.
Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi sekalian,
Nilai kemerdekaan yang diraikan bukan sahaja merdeka daripada dijajah, namun yang paling penting, keupayaan kita semua hidup dengan bersatu padu dalam suasana harmoni dalam negara Malaysia dan juga negeri Pulau Pinang tercinta. Kemenangan sebenar bukan sahaja untuk melihat seluruh rakyat terus hidup dalam suasana yang penuh harmoni, sebaliknya juga pembangunan negara serta negeri terutamanya pada aspek infrastruktur dan percambahan ekonomi demi manfaat semua pihak.
Umumnya, negeri Pulau Pinang pasca pandemik menunjukkan proses pemulihan yang memberangsangkan. Pulau Pinang kembali menjadi negeri pilihan sama ada untuk sektor pelancongan mahupun aspek pembangunan ekonomi. Bagi menjamin keharmonian serta kesejahteraan antara kaum dan agama di sini, kita terus komited memberikan peruntukan yang adil kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang, agama dan juga bangsa.
Dalam kita bergerak ke dunia pendigitalan, sejarah kemerdekaan negara perlu terus dihayati. Zahirkan perasaan berterima kasih serta bersyukur atas nikmat kemerdekaan ini. Hayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, bersikap toleransi antara satu sama lain agar kita semua dapat hidup penuh keharmonian tanpa sebarang sengketa.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-65. Merdeka! Merdeka! Merdeka!