Tanggal 31 Ogos 2023 ini, genaplah 66 tahun kita menyambut ulang tahun kemerdekaan. Hakikatnya, bukan mudah mengecapi kemerdekaan, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang sebaliknya memerlukan perjuangan serta pengorbanan dan semangat inilah yang mesti diteruskan dengan berteraskan perpaduan yang utuh.
Tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan menjadi jauh lebih bermakna apabila sejarah dilakar dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan sekali gus menamatkan kemelut ketidaktentuan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam lipatan sejarah Malaysia. Pembentukan Kerajaan Perpaduan ini membuktikan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tonggak perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Sesuai dengan tema sambutan tahun ini ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ yang menjadi lambang kebersamaan rakyat Malaysia berbilang bangsa baik dari segi latar belakang agama, perkembangan sejarah, silang budaya dan asimilasi kaum. Perpaduanlah yang menyatukan seluruh masyarakat membentuk identiti dengan nilai bersama dan satu perasaan cintakan tanah air.
Rakyat Pulau Pinang dikasihi sekalian,
Marilah sama-sama kita melupakan sengketa politik selepas Pilihan Raya Negeri Ke-15 baru-baru ini dan memberi fokus terhadap urus tadbir perpaduan. Tanpa perpaduan, kita tidak mungkin mencapai kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan. Hentikanlah sebarang provokasi, elakkan membuat kenyataan bersifat adu domba menggunakan sentimen agama dan kaum atau menyebarkan maklumat palsu terutama di media sosial sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.
Sebagai simbolik mandat baharu Kerajaan Perpaduan, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dilantik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih rakyat kini bersedia mengorak hala tuju untuk negeri tercinta.
Bertitik tolak dari situ, kita sememangnya harus bersyukur kerana negeri Pulau Pinang terus mengukir sejarahnya tersendiri sejak 2008. Pulau Pinang terus menggamit kemasukan pelaburan berpotensi tinggi yang mana lebih RM200 bilion dicatatkan menerusi pelaburan sektor pembuatan dan kekal sebagai pengeksport utama negara sejak 2018 dengan nilaian sebanyak RM170.8 trilion di samping mewujudkan lebih 222,000 peluang pekerjaan.
Pulau Pinang juga menerima pelbagai pengiktirafan pada peringkat antarabangsa dan menjadi antara destinasi kegemaran pelancong dari luar negara. Menerusi gagasan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara pula, pelbagai inisiatif dan pendekatan baharu diperkenalkan dalam memastikan pembangunan negeri dinikmati oleh semua. Kita Penang, Kita Boleh!
Akhir kalam, diharapkan permulaan babak dan cabaran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dapat diutuhkan lagi bagi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kekal relevan termasuk dalam meningkatkan penyertaan dan kesejahteraan rakyat seterusnya memacu pembangunan agar Pulau Pinang terus gah menjadi peneraju kemajuan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-66.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Dirgahayu tanah airku.