Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Keluarga Pulau Pinang yang dikasihi,
Pada hari yang mulia ini, saya ingin mengajak kita semua merafakkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dengan izinNya, kita semua masih diberikan kesempatan untuk menghirup udara kemerdekaan setelah 67 tahun negara ini berdiri teguh sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Tarikh keramat 31 Ogos merupakan manifestasi tumpahnya darah, air mata dan keringat para pejuang serta pemimpin bagi memastikan bangsa Malaysia hidup sebagai rakyat yang merdeka. Pengorbanan mereka sememangnya tiada bandingan, namun saya percaya bahawa dengan mengekalkan keharmonian antara kaum merupakan cara untuk kita berterima kasih kepada nenek moyang yang bermati-matian menuntut kemerdekaan.
Tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai simbolik untuk membentuk sebuah ketamadunan yang berpaksikan kepada enam (6) teras MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Pada peringkat negeri Pulau Pinang, pentadbiran ini menetapkan pencapaian berpaksikan Visi Penang2030 iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Berbaki kira-kira tiga (3) tahun khidmat saya sebagai Ketua Menteri, saya ingin meneruskan lakaran kecemerlangan negeri ini sebagai sebuah ‘Negeri Berkebajikan’ di samping mencapai kecemerlangan dalam sektor ekonomi dan pembangunan sosial.
Selaras dengan Tema C: Memperkasakan Masyarakat Untuk Mengukuhkan Penyertaan Sivik sebagaimana yang termaktub dalam Visi Penang2030, pemerkasaan komuniti adalah sangat penting dan menjadi penanda aras dalam pembangunan negeri. Penganjuran pelbagai program serta aktiviti kemasyarakatan akan terus diadakan dari semasa ke semasa kerana di situlah akan terpupuknya perasaan ihsan, hormat-menghormati dan toleransi sesama kita. Sesungguhnya, perpaduan serta integrasi rakyat yang berbilang agama, kaum dan budaya menjadi kunci keharmonian serta kemakmuran di negeri Pulau Pinang ini.
Menggalas harapan dan perjuangan ini, adalah menjadi komitmen saya sebagai Ketua Menteri untuk memastikan nikmat keharmonian dan kemakmuran negeri ini akan terus dinikmati serta diraikan secara bersama. Kemenangan sebenar bukan sahaja terhad kepada usaha memelihara kemerdekaan, namun kita harus sentiasa berusaha dan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pembangunan negeri demi masa depan anak bangsa yang lebih cerah. Dalam pada itu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada kontinjen negeri di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 dengan kejayaan membawa pulang 41 pingat emas, perak (45) dan gangsa (52) sekali gus meletakkan Pulau Pinang di tempat keempat (4) keseluruhan, ibarat kecil-kecil cili padi.
Sebagai penutup kata, saya berharap warga Pulau Pinang terus menjadi rakyat yang saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, berintegriti, prihatin, proaktif serta mengamalkan nilai-nilai positif demi melahirkan masyarakat yang lebih kuat dan berkeperibadian mulia sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
Buah pinang dikacip si dara,
Di tepak pusaka susun bersilang,
Pulau Pinang berkibar bendera,
Gelora merdeka tidak pernah hilang.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!