Skip to content

Perutusan Hari Kebangsaan Ke-69 Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Setiap kali kita melaungkan ‘Merdeka!’, kita bukan sekadar mengingati detik kebebasan, tetapi juga mengingatkan diri kita bahawa kemerdekaan adalah amanah yang perlu terus dipelihara demi keamanan, mempertahankan keharmonian dan memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan.

Menjelang 31 Ogos 2026, genaplah 69 tahun Malaysia menikmati kemerdekaan. Dalam tempoh ini, negara telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan. Namun, satu perkara yang kekal penting ialah keupayaan kita untuk mengetepikan perbezaan, menghormati kepelbagaian dan mendahulukan keharmonian negara.

‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, tema yang membawa mesej bahawa kemajuan tidak harus sekadar dilihat melalui angka ekonomi, tetapi wajar diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih baik untuk rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik, kos sara hidup yang lebih terkawal serta persekitaran yang selamat dan lestari untuk seisi keluarga.

Seiring dengan aspirasi tersebut, Pulau Pinang akan terus memberikan komitmen kepada agenda Kerajaan Madani, khususnya dalam memastikan pembangunan negeri terus berkembang tanpa mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyatnya. Pulau Pinang mungkin kecil dari segi keluasan, tetapi sumbangannya kepada Malaysia amat besar. Daripada sektor perindustrian dan teknologi hinggalah pendidikan, pelancongan dan inovasi, kita akan terus memainkan peranan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan negara.

Namun, kemajuan tidak akan membawa makna tanpa keharmonian masyarakat. Pulau Pinang dibina oleh rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang. Kepelbagaian inilah kekuatan kita. Justeru, marilah kita terus memelihara intipatinya, saling menghormati dan berganding bahu membina masa depan yang lebih baik berpaksikan Visi Penang2030 yang digagaskan.

Tekad kita jelas, menyokong agenda Malaysia Madani, memperkukuh pembangunan Pulau Pinang dan memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat. Biarpun berbeza wajah, tetapi kita satu jiwa. Meskipun kita berbeza cerita, tetapi kita satu negeri, dan inilah Pulau Pinang kita.

Bersatu hati menjunjung harapan,

Pulau Pinang teguh terus melangkah.

Selamat Hari Kebangsaan ke-69,

Demi rakyat kita memegang amanah.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!