Skip to content

Perutusan Hari Kemerdekaan ke-64 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Tempoh 64 tahun berlalu, kemerdekaan yang dilaungkan telah membuka lembaran baharu buat tanah air tercinta. Kemajuan demi kemajuan dan kejayaan demi kejayaan ditempa, inilah nikmat kemerdekaan yang dikecapi oleh kita semua di bawah satu bendera serta identiti sebagai rakyat Malaysia.

Memaknai nilai sebuah kemerdekaan adalah penting meskipun kita masih mengharungi cabaran krisis kesihatan paling dahsyat kini. Namun, ia bukanlah penghalang yang dapat memudarkan semangat cintakan negara dalam diri, sebaliknya dalam konteks kenegaraan nilai-nilai kemerdekaan dan patriotisme harus dihayati dengan terapan normal baharu.

“Malaysia Prihatin” sekali lagi dipilih sebagai tema sambutan tahun ini, justeru pengertian tersebut wajar diperjuangkan oleh seluruh warganegara Malaysia terutama dalam usaha memerangi serta memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 demi kelangsungan diri sendiri, keluarga, komuniti, negeri dan negara.

Dalam konteks negeri Pulau Pinang, saya serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa bersama-sama rakyat. Kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi tonggak terutama dalam merangka pelan tindakan yang merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, kebajikan, ekonomi dan kelangsungan hidup seluruh rakyat di negeri ini. Kami mendengar setiap keluhan dan rintihan warganegeri serta berusaha sedaya-upaya untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengharungi detik-detik sukar ini.

Sejak penularan pandemik COVID-19 diisytiharkan pada Mac 2020, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM175 juta melalui lima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi membantu golongan rakyat yang terkesan termasuk bantuan kepada lain-lain sektor berkaitan.

Selain itu, pada 11 Ogos 2021, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama badan-badan bukan kerajaan (NGO), para pemain industri utama serta golongan profesional di negeri ini berkolaborasi membentuk Gabungan PgCare atau PgCare Alliance yang bertujuan memberi sokongan serta bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di negeri ini. Melalui gabungan ini, penyaluran bantuan dapat dipercepatkan dan lebih tertumpu mengikut empat teras perkhidmatan utama iaitu kesihatan mental, pekerjaan, makanan dan keperluan asas serta rundingan kewangan.

Rakyat Pulau Pinang sekalian, suka saya ulangi di sini bahawa proses vaksinasi merupakan harapan untuk kita kembali mengawal perebakan wabak COVID-19. Marilah bersama-sama kita memainkan peranan masing-masing dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab, elakkan diri kita daripada menjadi ejen perebakan dalam kalangan ahli keluarga ataupun komuniti di sekeliling kita.

Hal ini demikian kerana, saya percaya bahawa setiap dos vaksin itu adalah sangat penting. Maka, teruslah menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menjadi penerima vaksin sekali gus membolehkan negeri kita beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Akhir kata, sebagai anak Malaysia yang cintakan tanah air ini, bersama-samalah kita kibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme. Terapkan amalan normal baharu dalam kehidupan, patuhi SOP, kekal sihat dan kekal selamat.

Selamat Hari Merdeka!