Skip to content

Perutusan Hari Krimas dan Tahun Baru 2020 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Esok, 25 Disember penganut agama Kristian bakal meraikan perayaan Hari Natal. Seperti mana kelaziman sambutan perayaan utama lain, semangat perpaduan dan keharmonian yang selama ini menjadi pegangan serta titik persamaan yang dikongsi harus dikekalkan dan menjadi kekuatan tanpa prejudis demi kemajuan negeri serta negara pada masa hadapan.

Sebagaimana dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong bersempena lawatan baginda ke Pulau Pinang pada 20 hingga 22 Disember lalu, baginda menasihati supaya rakyat Pulau Pinang hidup dalam keadaan harmoni dan menjadi contoh sebagai sebuah negeri yang berbilang bangsa serta agama dan dapat hidup bersama dengan baik. Malah, baginda juga percaya bahawa dengan kesungguhan ditunjukkan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, setiap daripada rakyat di negeri ini bakal menikmati limpahan pembangunan hasil daripada pelaksanaan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Berlandaskan itu, Kerajaan Negeri menerima nasihat yang dititahkan dan berusaha untuk memastikan segala hasil pembangunan negeri dapat membawa manfaat kepada seluruh rakyat di samping mewujudkan semangat perpaduan dan toleransi sebagaimana dipraktikkan selama ini. Ini termasuk pelaksanaan program-program kebajikan; pembekalan tahap pendidikan yang bagus; memperjuangkan kesaksamaan gender; kehidupan di dalam suasana hijau dan sihat tanpa mengetepikan nilai-nilai warisan sedia ada serta pemantapan pembangunan modal insan dan belia secara keseluruhan.

Sebagaimana erti dan semangat Hari Natal, penganut agama Kristian meraikan kelahiran Jesus yang membawa kebenaran dan rahmat. Adalah diharapkan agar rakyat Pulau Pinang terus hidup di dalam suasana harmoni dan aman-damai. Serentak itu, adalah menjadi harapan saya supaya pelan pembangunan negeri terutamanya dalam aspek pembangunan infrastruktur khususnya pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dapat dilaksanakan dengan jayanya demi percambahan ekonomi negeri dengan memperoleh penglibatan semua pihak. Ini adalah untuk kepentingan anak cucu kita pada masa hadapan yang mana kita inginkan mereka memiliki sistem pengangkutan yang sempurna; mempunyai kerjaya yang bagus; pemilikan rumah sendiri; perkhidmatan kesihatan yang efisien dan tahap keselamatan yang optimum.

Tahun 2019 bakal melabuhkan tirai, inilah masanya untuk kita merenung kembali segala pencapaian, kejayaan serta cabaran yang telah dikecapi dan berharap semoga tahun baru yang bakal menjelma memberikan jangkaan lebih besar dan penuh keterujaan.

Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) yang telah digerakkan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang yang merupakan antara negeri penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional bakal memulakan tahun 2020 dengan terus memantapkan sektor pelancongan negeri ini bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 melalui kempen “Experience Penang Year (EPY) 2020” dengan tema ‘Kepelbagaian Asia’.

Bagi sektor pelancongan yang turut menjadi penyumbang utama kepada KDNK negeri, menurut statistik Malaysian Airport Holdings Berhad, jumlah pergerakan penumpang domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) telah mencatatkan peningkatan sebanyak 7.43 peratus iaitu 7,555,275 penumpang dari Januari hingga November 2019 berbanding 7,032,974 dalam tempoh sama tahun lalu. Malah, berdasarkan statistik Penang Port Sdn. Bhd., jumlah ketibaan penumpang kapal persiaran juga menunjukkan peningkatan sebanyak 32.71 peratus daripada 258,478 penumpang (Oktober 2018) kepada 343,039 penumpang (Oktober 2019).

Bagi meraikan perbezaan dan menyokong kepelbagaian yang wujud, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi penubuhan Pusat Harmoni Pulau Pinang yang berpotensi untuk menjadi ruang komuniti bagi pelbagai kegiatan keagamaan sekali gus menyemarakkan rasa cinta serta meningkatkan keharmonian antara rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini. Selain menyediakan pelbagai peruntukan kepada rumah-rumah ibadat utama, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan kepada gereja-gereja melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI). Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016 sehingga Oktober tahun ini, sebanyak RM801,213 telah diperuntukkan untuk tujuan pemulihan dan menaik taraf rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Visi Penang2030 yang menjadi wadah kepada aspirasi pembangunan negeri akan terus dipacu berlandaskan empat (4) teras utama dan 16 strategik inisiatif dengan proaktif dan agresif. Tahun pertama telah berlalu dengan jayanya. Buktinya, rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah berjaya dicatatkan dalam tempoh sembilan (9) bulan pertama tahun ini iaitu sebanyak RM13.3 bilion, meningkat 247 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan tambahan 15,013 peluang pekerjaan baru bakal tersedia untuk rakyat negeri ini.

Ini menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri kedua yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi, sekali gus menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah pelaburan sektor pembuatan negara. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memperkuatkan usaha bagi saling bekerjasama dengan pelabur baharu dan sedia ada untuk pertumbuhan jangka panjang ekonomi negeri yang lebih memberangsangkan.

Pulau Pinang terus mengorak langkah ke arah sebuah smart city. Juga akan terus memburu kepelbagaian kecemerlangan di persada dunia sejajar dengan Visi Penang2030. Pastinya, kejayaan-kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada rakyat negeri Pulau Pinang. Bagi pihak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, saya dengan seikhlas hati ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Bagi Tahun Baru 2020, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pastinya akan terus memberi komitmen dalam meningkatkan keupayaan pembangunan negeri yang mampan, pintar serta inklusif.

Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru 2020.