Skip to content

PERUTUSAN HARI KRISMAS 2023 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA 25 DISEMBER 2023

Sambutan Hari Krismas yang lazimnya membawa kegembiraan dan keceriaan kembali dengan membawa pelbagai pengertian. Hari ini, masyarakat beragama Kristian bakal meraikannya demi memperingati hari kelahiran Yesus dari Nazerath. Dalam suasana meraikan sambutan berkaitan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dalam menyemai keharmonian dan membenih perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Meskipun kemeriahan perayaan berkaitan diraikan secara berbeza-beza di setiap negara, namun tiada yang lebih penting daripada pengertian sebenar untuk meraikannya bersama-sama keluarga tersayang serta rakan-rakan yang senantiasa berada dalam ingatan. Sesungguhnya, Hari Krismas atau juga dikenali sebagai Hari Natal, sama seperti sambutan perayaan kaum lain yang diadakan setiap tahun, ia memainkan peranan penting dalam menyemarakkan amalan berkongsi perayaan yang menjadi identiti unik bukan sahaja di Pulau Pinang malah juga negara kita, Malaysia secara keseluruhan.

Melangkah ke hadapan, berlandaskan aspirasi Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini terus bertekad mewujudkan warganegeri yang inklusif selain memperjuangkan tadbir urus berintegriti demi kebajikan rakyat. Salah satunya adalah dengan menawarkan perkhidmatan serta kemudahan asas dalam membantu rakyat negeri ini mengamalkan hal ehwal agama masing-masing tanpa sebarang halangan. Antaranya, penubuhan Penang Harmony Corporation (HARMONICO) pada tahun 2021 yang bermatlamat membina serta mempromosikan konsep keharmonian beragama selain memastikan wujudnya sistem pengurusan berkaitan hal ehwal bukan Islam yang kukuh. Buktinya, sehingga kini, Pulau Pinang merupakan antara tiga buah negeri dalam negara yang mempunyai unit khas bagi tujuan berkenaan.

Malah, di bawah Tema 13 Visi Penang20230 iaitu Keharmonian Masyarakat Majmuk, sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk pembangunan serta keperluan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sehingga tahun 2028 yang mana sesi perbincangan atau ‘engagement’ berhubung pelaksanaan Sistem e-RIBI bakal dipergiatkan selaras dengan era pendigitalan kini. Melalui inisiatif berkaitan juga, sehingga tahun 2022 mengikut rekod, sebanyak 134 RIBI telah menerima manfaat daripada segi pemberian tanah membabitkan keluasan 83.41 ekar.

Kita di Pulau Pinang adalah amat bertuah, di negeri inilah kita meraikan kepelbagaian, nilai hormat-menghormati dan juga ikatan keharmonian yang sentiasa terjalin kukuh. Sebagaimana ditekankan di dalam pembentangan Bajet 2024 oleh saya baru-baru ini, Kerajaan Negeri kini bersedia dan sedang berusaha memperkasakan pembangunan serta pencapaian negeri Pulau Pinang menerusi lapan (8) bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian untuk tempoh lima (5) tahun akan datang. Antaranya adalah peluang pekerjaan; pembangunan jaringan ekosistem; ketersambungan jaringan pengangkutan dan penambahbaikan aliran trafik; strategi mengatasi isu perubahan iklim; pembekalan air; pembangunan komuniti termasuk belia, wanita serta warga emas; peralihan tenaga boleh baharu (TBB) atau ‘energy transition’ dan sumber pendapatan baharu.

Malah, pada 10 Disember lalu, saya dan barisan kepimpian saya berjaya menjejakkan kaki di ‘Silicon Island’ yang mana hasil kerjasama dan komitmen setiap pihak, dengan penuh rasa kesyukuran, kita berjaya merealisasikan projek ini yang mana saya sangat yakin bahawa ia akan mengulangi kejayaan kawasan perindustrian bebas (FIZ) Bayan Lepas yang telah membawa pembaharuan kepada ekonomi Pulau Pinang lebih 50 tahun lalu. Melalui pembangunan taman perindustrian berteknologi tinggi, Green Tech Park (GTP); hab perkhidmatan perniagaan global atau GBS Campus; pembangunan komersial; perumahan serta kawasan rekreasi hijau, ‘Silicon Island’ dijangka bakal menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM1.1 trilion, pelaburan sebanyak RM74.6 bilion serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan.

Semua yang kita rancang dan usahakan adalah demi masa depan negeri tercinta kita dan juga demi anak cucu dan cicit kita. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak pernah berputus asa sebaliknya sentiasa mencari dan mencanai alternatif demi kepentingan sejagat, setiap individu dan juga pelosok negeri ini – tiada yang terpinggir atau dipinggirkan di Pulau Mutiara!

Mengambil kesempatan ini, suka untuk saya zahirkan bahawa semoga keajaiban Krismas tahun ini terus memupuk semangat kebersamaan yang menjadi lambang perpaduan kita semua di negeri Pulau Pinang. Kepada mereka yang pulang ke pangkuan keluarga tercinta, berhati-hati di jalan raya dan semoga anda menikmati musim perayaan yang indah dan penuh bermakna.

Selamat Menyambut Hari Krismas.

Sekian, terima kasih.