Sejak awal Disember lagi, keindahan dekorasi perayaan yang menghiasi bandar raya, halaman kediaman serta pusat membeli belah telah memberi gambaran kepada warga negeri bahawa Hari Krismas semakin dekat. Hari ini, penganut agama Kristian di seluruh dunia merayakan Hari Krismas bagi mengingati kelahiran Yesus yang membawa mesej kasih sayang, pengorbanan dan harapan kepada umat manusia.
Izinkan saya memetik sebaris ayat daripada kitab Injil iaitu 1 Korintus 16:14 “Lakukan segala-galanya dalam kasih”. Saya yakin nilai murni universal ini mampu menjadi pegangan setiap manusia merentasi kepercayaan agama dan budaya. Dengan mengambil kira semangat ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dan mengutamakan nilai saling sayang menyayangi dalam mengekalkan keharmonian beragama. Pentadbiran ini juga memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menyediakan perkhidmatan serta kemudahan asas bagi membolehkan setiap individu mempraktik amalan serta kepercayaan masing-masing berteraskan Rukun Negara.
Buktinya, Penang Harmony Corporation (HARMONICO) yang ditubuhkan pada tahun 2021 bertujuan bagi mewujud dan memantapkan sistem pengurusan berkaitan hal ehwal bukan Islam di negeri ini. Menerusi Manisfesto Perpaduan Kerajaan Negeri, peruntukan berjumlah RM10 juta disalurkan bagi memenuhi keperluan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sehingga tahun 2028. Malah, sebanyak 129 RIBI juga telah menerima tanah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara tahun 2018 hingga 2024. Ini adalah langkah konkrit dalam memastikan bahawa rumah ibadat untuk penganut agama-agama lain juga diberikan kemudahan serta ruang untuk berkembang dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri.
Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya amat terharu melihatkan budaya rakyat Pulau Pinang yang meraikan kepelbagaian perayaan sebagai tanda saling bertoleransi, menghormati dan bersifat terbuka. Ini adalah bukti jelas bahawa keharmonian budaya mekar mengharum dalam kalangan rakyat negeri kita. Kestabilan politik dan sosial merupakan salah satu aspek yang sangat penting bagi menjamin kemampanan ekonomi, khususnya kepada para pelabur untuk bertapak di sini.
Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang telah menyumbang pada kerancakan aktiviti ekonomi dalam negeri secara keseluruhan. Sepanjang tempoh 2020 hingga 2023, Pulau Pinang berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM187.8 bilion bersamaan 17.5 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pentadbiran ini komited untuk terus menjadi peneraju dan penyumbang utama negara bagi memastikan limpahan ekonomi boleh dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat dalam bentuk kebajikan, pendidikan, infrastruktur serta pembangunan modal insan di seluruh negeri.
Oleh itu, saya ingin mengajak seluruh keluarga Pulau Pinang untuk menghayati musim perayaan ini sebagai suatu kesempatan untuk merapatkan lagi hubungan sesama kita, memperkukuh semangat muhibbah dan menyebarkan kasih sayang tanpa mengira latar belakang. Nikmatilah musim percutian ini dengan mencipta saat-saat indah dan penuh makna bersama-sama insan tersayang. Semoga tahun baru yang mendatang membawa lebih banyak kebahagiaan dan kejayaan!
Selamat Menyambut Hari Krismas!