Dalam suasana meraikan sambutan Hari Krismas yang penuh harmoni dan meriah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua, khususnya seluruh penganut agama Kristian di Pulau Pinang. Semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas keterangkuman kita bersama adalah perlu dipelihara supaya ia kekal menjadi identiti unik dan ditransformasikan sebagai penggerak kebersamaan tanpa prejudis demi pembangunan serta kemajuan masa depan negeri ini.
Ke arah merealisasikan matlamat tersebut, usaha serta objektif melalui konsep Keluarga Malaysia turut disokong serta diterjemahkan menerusi Visi Penang2030 ke arah mencapai matlamat dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih mesra keluarga, lebih bersih, lebih hijau, lebih sihat dan lebih selamat. Serentak itu, sebagaimana diumumkan dalam Bajet Negeri Pulau Pinang 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta sebagai pengiktirafan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta RM1.1 juta untuk Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO) dalam usaha memperkasakan serta menggalakkan keharmonian dalam kalangan komuniti Pulau Pinang.
Tahun ini, sempena Hari Krismas dan semangat ‘memberi’ yang menjadi tunjang sambutan berkaitan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui HARMONICO telah melancarkan program ‘Season of Hope Community’ bagi menggalakkan penyertaan gereja dalam kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Selain daripada agihan pelitup muka, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan sejumlah RM47,000 kepada 10 buah gereja di negeri ini bagi menjayakan program kemasyarakatan berkenaan. Malah, sejak penubuhan dana Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1,645,688.80 bagi kerja-kerja menaik taraf dan pembangunan gereja di seluruh Pulau Pinang.
Semasa kita meraikan dan bergembira bersama-sama ahli keluarga dan rakan taulan, kita harus ingat bahawa ada insan yang sedang bertungkus lumus melawan pandemik COVID-19 demi keselamatan kita. Pertempuran kita masih belum sampai ke penghujung, teruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan jangan sesekali lalai. Berbekalkan semangat komuniti, kebaikan dan kemurahan, dalami pengertian Krismas yang sebenar untuk memberi dan memaafkan, mengeratkan ikatan kekeluargaan demi kegembiraan serta keberkatan semua.
Selamat Menyambut Hari Krismas 2021.