Skip to content

Perutusan Hari Malaysia 2018 daripada Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 16 September 2018

Sabah dan Sarawak Akan Menjadi Lebih Baik Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Pesekutuan dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Selepas Rasionalisasi Ekonomi Yang Perlu Dilakukan Untuk Menyelamatkan Ekonomi Malaysia Daripada Skandal Kewangan Barisan Nasional

Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih baik di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan selepas rasionalisasi ekonomi yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada skandal kewangan Barisan Nasional. DAP percaya bahawa rakyat Malaysia memahami bahawa Kerajaan baharu ini bergelut untuk memperbaiki situasi kewangan ekoran skandal-skandal berkaitan 1MDB yang telah menyebabkan hutang Kerajaan Persekutuan mencecah lebih RM1 trilion.

Sungguhpun begitu, Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan segala janji-janji yang termaktub di dalam manifesto pilihanraya apabila situasi kewangan bertambah baik. Dalam pada itu, kita akan berusaha untuk memulihkan kedudukan politik Sabah dan Sarawak serta mengembalikan semula kedudukan kedua-dua negeri tersebut sebagai salah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada kesaksamaan politik, janji-janji berkenaan hak-hak ekonomi dan sosial yang dibuat kepada rakyat Sabah dan Sarawak tidak akan dilupakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sebaik sahaja keadaan ekonomi Kerajaan pusat pulih.

Rakyat Sabah dan Sarawak akan lebih yakin dengan visi perpaduan Pakatan Harapan yang merangkumi semua bangsa dan agama serta setiap wilayah geografi yang mengukuhkan dan memperkuat jiwa Malaysia sebagai negara yang demokratik, menghormati kedaulatan undang-undang, menegakkan integriti dalam kepemimpinan, keadilan sosial dan ekonomi, toleransi dan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian dan keterangkuman.

Hanya dengan keadilan politik, sosial dan ekonomi untuk Sabah dan Sarawak, kita dapat mengatasi politik berbahaya pihak pembangkang yang cuba memisahkan hubungan antara kaum, chauvinisme etnik, dominasi perkauman, ekstremisme agama dan apa-apa pergerakan kemerdekaan yang menimbulkan keraguan dan kebencian yang membuta tuli.