Skip to content

PERUTUSAN HARI MALAYSIA 2024 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

Tanggal 16 September 1963 merupakan tarikh keramat bagi anak bangsa kerana ia merupakan detik terbentuknya sebuah negara yang berdaulat, makmur serta sejahtera iaitu Malaysia. Kini setelah 61 tahun berlalu, tarikh keramat ini dikenang dan disambut setiap tahun sekali gus memperkukuhkan cita-cita dalam meneruskan Malaysia yang demokrasi, aman serta sejahtera.

Tema Sambutan Hari Malaysia 2024 juga menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2024 iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, yang menekankan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pelbagai perspektif melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi. Sememangnya, keharmonian dan toleransi rakyat berbilang kaum di negara ini telah menjadi tonggak serta tunjang utama kepada pengukuhan dan pembangunan insan dalam Malaysia, diiringi dengan penghasilan dasar ekonomi negeri yang jelas, mesra pelabur serta kompetitif pada peringkat serantau.

Saya amat berbangga kerana mampu menyatakan bahawa Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM71.9 bilion pada tahun 2023, menjadikannya destinasi pelaburan antara terunggul di Malaysia. Ini merupakan peningkatan ketara berbanding RM16.3 bilion pada tahun 2022 meskipun menghadapi cabaran ekonomi global. Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM61.7 bilion, iaitu 85.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan pada tahun sama. Malah, Pulau Pinang juga berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara. Fakta-fakta ini menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap keupayaan negeri yang kita cintai ini.

Realitinya, pencapaian ini mampu dan telah menjadi kenyataan ekoran kepercayaan serta mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Diharapkan momentum dan sokongan padu ini semakin mekar dalam diri setiap keluarga Pulau Pinang yang dikasihi sekali gus mendalami erti serta semangat cintakan bangsa dan negara.

Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, saya amat berharap bahawa semangat meraikan Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia yang penuh makna dan bersejarah ini dapat disemarakkan lagi dengan ikatan perpaduan yang utuh di antara kita. Marilah sama-sama kita membentuk masa depan negara yang lebih progresif dan seterusnya memberi persekitaran mampan untuk kesejahteraan kepada rakyat.

Hari ini, marilah kita sama-sama menghayati dan meneladani sejarah pembentukan negara kita Malaysia sebagai pemangkin serta pembangkit semangat ke arah pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang terus cemerlang serta gemilang.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!

‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’