Tanggal 16 September 1963, sejarah terpahat apabila Malaya (Semenanjung) bergabung bersama Sabah dan Sarawak di bawah panji yang diberi nama Malaysia. Dengan terukirnya sejarah ini menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat dalam mencapai kemajuan dan kemakmuran setelah 59 tahun bersama.
Tarikh ini juga telah memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, makmur dan sejahtera. Ternyata, perjalanan yang didasari dengan tekad serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan kekal malar segar dalam sanubari rakyat negara ini sehingga kini. Hakikatnya, kita berjaya mengharungi pelbagai rintangan serta cabaran dengan dipayungi panji kebesaran Jalur Gemilang berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Hampir enam dekad rakyat hidup dalam kerukunan, perpaduan dan toleransi. Pendekatan-pendekatan untuk meningkatkan perpaduan rakyat terus disemai dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengekalkannya demi memelihara keharmonian dan kemaslahatan seluruh warganya di negara Malaysia yang tercinta ini. Tidak terkecuali, di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri secara tuntasnya sentiasa berusaha meningkatkan semangat toleransi dan kerjasama antara rakyat yang berbilang agama, bangsa serta budaya. Pencapaian yang diperoleh selama ini adalah hasil keharmonian dan semangat kekitaan yang dipupuk dalam sanubari setiap rakyat di negeri ini.
Kita telah melancarkan kempen ❤️PENANG (LovePENANG) demi menyerlahkan lagi intipati patriotisme dalam kalangan rakyat di samping menyemai rasa cinta dan sayang terhadap negeri. Kempen ini telah menjadi wadah dalam menonjolkan keprihatinan rakyat Pulau Pinang untuk menjaga antara satu sama lain khususnya dalam menempuh tempoh pasca pandemik dan memberi pengertian yang cukup besar sekali gus menyuntik semangat untuk terus maju ke hadapan selaras dengan aspirasi kita.
Hari ini, marilah kita sama-sama menghayati dan meneladani sejarah pembentukan negara kita Malaysia sebagai pemangkin serta pembangkit semangat ke arah pembinaan sebuah negara berbilang bangsa yang terus cemerlang dan gemilang. Demi Malaysia dan Pulau Pinang, sama-sama kita membentuk masa depan yang lebih progresif dan memberi kesejahteraan pembangunan yang lebih mampan kepada bangsa serta negara kita.
Semoga keamanan dan kemajuan Malaysia kekal berterusan. Selamat Menyambut Hari Malaysia Kepada Semua!