Hari ini iaitu 16 September 2023, maka genaplah sudah 60 tahun pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan demokratik. Sesungguhnya, 16 September merupakan tarikh keramat yang perlu dijadikan asas oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama serta ideologi untuk terus menghayati, memahami dan memperingati sejarah penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat.
Semenjak itu, perjalanan Malaysia penuh dengan cabaran dan juga citra warna sehingga berjaya mengecapi pelbagai nikmat kejayaan serta pencapaian yang amat signifikan berpayungkan perpaduan rakyat yang majmuk. Inilah kunci yang dipegang oleh Kerajaan Perpaduan hari ini dalam memupuk generasi kini untuk memahami susur galur sejarah berserta perjuangan dalam membina sebuah negara. Sesuai dengan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, ikatan perpaduan yang dipupuk sejak sekian lama menjadikan kita ‘Malaysia’ – unik, walaupun berbeza kita tetap teguh bersama.
Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi,
Bagi negeri Pulau Pinang, kita akan terus mengorak langkah memacu pencapaian Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara bersandarkan semangat kenegaraan dengan tekad dan iltizam yang utuh melalui perancangan yang teliti serta pembangunan lestari. Sewajarnya, segala yang dirancang kini adalah demi survival ke arah kemandirian dalam memastikan negeri kita kekal kompetitif dan stabil pada masa hadapan.
Serentak itu, adalah penting juga untuk kita bersama-sama bersatu hati memelihara perpaduan yang sedia terjalin ini dengan menyemarakkan lagi gelombang semangat nasionalisme terhadap negeri dan juga Malaysia serta menolak sebarang ancaman anasir ekstrem yang boleh mengganggu gugat pentadbiran negeri, kesejahteraan dan keamanan semua rakyat. Ketahuilah bahawa hanya dengan kesejahteraan dan keamanan semua sahaja perseteruan dapat dielakkan.
Dalam tempoh 15 tahun ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan kejayaan menarik lebih daripada RM200 bilion pelaburan pembuatan diluluskan. Tidak hanya terhenti di situ sahaja, Kerajaan Negeri turut memperkasakan pembangunan modal insan termasuk menyediakan persekitaran pekerjaan yang kondusif dan peluang pekerjaan yang kompetitif, malah memperuntukkan suntikan tahunan melebihi RM146 juta kepada sekolah-sekolah di negeri ini.
Semua pencapaian ini mampu dan telah menjadi kenyataan ekoran kepercayaan serta mandat yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Momentum Kerajaan Negeri mungkin tidak selancar mana tanpa sokongan padu daripada rakyat dalam setiap dasar dan aktiviti yang dianjurkan. Diharapkan momentum serta sokongan padu ini kekal mekar dalam diri setiap kita sekali gus mewarnai erti dan semangat kemerdekaan negara yang kita cintai ini.
Hari ini, sempena sambutan Hari Malaysia, demi Malaysia dan demi Pulau Pinang, marilah kita bersama-sama mencipta masa depan yang progresif, inklusif serta berfungsi bertunjangkan Perlembagaan Malaysia dan prinsip Rukun Negara, selain menghayati sejarah terbentuknya sebuah negara merdeka di bawah satu bendera.
Selamat Menyambut Hari Malaysia!