Skip to content

Perutusan Hari Pekerja 2023 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada 1 Mei 2023

Salam sejahtera. Salam Malaysia Madani.

Sebagaimana sedia maklum, tanggal 1 Mei saban tahun diisytiharkan sebagai Hari Pekerja peringkat kebangsaan dan disambut di seluruh dunia sebagai pengiktirafan kepada warga pekerja sama ada sektor awam, swasta mahupun bekerja sendiri. Dan mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja Tahun 2023 kepada semua warga pekerja di seantero dunia khususnya di Pulau Pinang.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pekerja yang membanting tulang, mengerah keringat bekerja dengan penuh amanah dan dedikasi bagi menyara kehidupan seharian dan keluarga dalam sektor masing-masing. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor ekonomi negara dan juga pendapatan semua pihak secara drastik termasuk golongan belia yang baru memulakan langkah untuk mencari rezeki.

Selaras itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berusaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda dan menjana semula ekonomi yang telah terjejas. Kita yakin bahawa dengan dedikasi, kerja keras dan bakat yang ditonjolkan oleh warga pekerja, Pulau Pinang akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan para pelabur berkualiti serta bernilai tinggi. Malah, sebagai salah sebuah negeri peneraju utama dalam sektor pembuatan dalam negara, iklim pelaburan di Pulau Pinang kekal teguh yakni asas perindustrian yang kukuh menjadi antara faktor penarik kepada aliran masuk pelaburan berterusan. Hasil kejayaan bersama, bagi bulan Januari sehingga Disember tahun 2022, Pulau Pinang mencatatkan RM13.7 bilion pelaburan pembuatan diluluskan.

Berlandaskan aspek pembangunan Pulau Pinang yang memerlukan pembekalan modal insan secara berterusan, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha menarik bakat-bakat dari seluruh negara untuk mencari peluang pekerjaan di Pulau Pinang menerusi kempen “My Penang, My Workplace” selain kepelbagaian program yang juga telah dilaksanakan antaranya memfokuskan kemahiran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam kalangan pelajar sekolah, meneruskan usaha sama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster, Penang Digital Library dan Penang Skills Development Centre melalui inisiatif MakerLab, Coding-For-All, Penang International Science Fair dan sebagainya. Pendekatan ini adalah selaras dengan agenda untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri ini selari dengan visi digagaskan Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Impak daripada penularan wabak COVID-19 juga, dapat dilihat bahawa ramai yang telah hilang sumber pendapatan khususnya golongan peniaga, penjaja dan para pekerja yang terpaksa digugurkan daripada perusahaan. Melihat situasi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergerak secara proaktif dengan menjalinkan kerjasama erat bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menanganinya menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif yang membawa impak positif kepada golongan-golongan berkaitan. Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) Perkeso, bagi suku ke-4 tahun 2022, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.3 peratus iaitu ketiga terendah selepas Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 1.6 peratus dan Perlis (2.2 peratus).

Warga Pulau Pinang yang dikasihi, dalam melakukan apa sahaja pekerjaan, integriti merupakan nilai yang paling berharga selain daripada menguasai kemahiran dan kelayakan. Teruskanlah bekerja dengan penuh jujur dan amanah seperti yang telah disematkan dalam konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Ke-10, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim yang merangkumi aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

Teruskanlah kemampanan dalam pembangunan prestasi pekerjaan. Jadilah insan yang menyumbang kepada kesejahteraan di tempat kerja. Tonjolkan kreativiti dalam sektor pembangunan dan daya cipta. Jadilah insan yang sentiasa hormat-menghormati sesama rakan sekerja tanpa mengira latar belakang, posisi atau kedudukan. Sentiasa berkeyakinan tinggi untuk memikul tanggungjawab dengan penuh integriti serta sentiasa menyantuni, menerapkan nilai ihsan dan rahmah kepada rakan sekerja terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan atau sedang ditimpa masalah atau kesusahan.

Diharapkan dengan nilai-nilai murni Madani tersebut, Pulau Pinang dan negara kita Malaysia dapat berada satu langkah ke hadapan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Selamat Menyambut Hari Pekerja Tahun 2023.