Skip to content

PERUTUSAN HARI PEKERJA 2024 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Penang2030.

Salam Hari Pekerja saya ucapkan kepada semua.

Setibanya tanggal 1 Mei, seluruh dunia meraikan Hari Pekerja sempena menghargai golongan yang merupakan nadi utama kepada pembangunan negara dan bangsa.

Dengan ini, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja 2024 kepada semua pekerja di seantero dunia khususnya di Pulau Pinang. Dengan rendah hati, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pekerja yang membanting tulang mencari rezeki dengan penuh amanah dan dedikasi bagi menyara kehidupan seharian.

Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda, pentadbiran ini menumpukan perhatian dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi perdagangan antarabangsa terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor.

Hasil keringat dan titik peluh para pekerja semua, negeri tercinta ini telah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023, iaitu yang tertinggi di Malaysia. Serentak itu, menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion, dan lebih 14,000 peluang pekerjaan berjaya dimudah cara pada tahun 2023.

Dengan rekod prestasi Pulau Pinang yang lebih kukuh daripada segi dasar dan fasiliti pelaburan, Kerajaan Negeri yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan para pelabur berkualiti serta bernilai tinggi, sekali lagi terima kasih kepada usaha gigih para pekerja dalam negeri ini.

Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB), bagi suku ke-4 tahun 2023, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.0 peratus yang mana Pulau Pinang mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 73.3 peratus sekali gus membuktikan bahawa masyarakat di Pulau Pinang merupakan golongan yang rajin berusaha dan semakin optimis dalam usaha menambah baik taraf kehidupan masing-masing.

Ingin saya mengingati semua pihak khususnya diri sendiri untuk menerapkan nilai-nilai Madani dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pekerja dan seorang individu. Jadilah insan yang menyumbang kepada kesejahteraan di tempat kerja. Tonjolkan kreativiti dalam sektor pembangunan serta daya cipta. Jadilah insan yang sentiasa hormat-menghormati sesama rakan sekerja tanpa mengira latar belakang, posisi atau kedudukan.

Dalam pada itu, sentiasa berkeyakinan tinggi untuk memikul tanggungjawab dengan penuh integriti serta sentiasa menyantuni, menerapkan nilai ihsan dan rahmah kepada rakan sekerja terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan atau sedang ditimpa masalah atau kesusahan.

Ketahuilah bahawa saya serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerja dengan lebih keras dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini sentiasa dipelihara dan dibela.

Sekian, terima kasih.