Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Pada hari yang sangat bermakna ini, seluruh dunia meraikan Hari Pekerja yang melambangkan solidariti dan ketahanan umat manusia dalam arus pembangunan ekonomi serta manusiawi. Tema Hari Pekerja tahun ini, ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, adalah amat bertepatan dengan realiti bahawasanya para pekerja merupakan asas kepada kukuhnya sesebuah ketamadunan dan bangsa yang maju, inklusif serta berdaya tahan.
Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pekerja dalam negeri Pulau Pinang sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, dari petugas barisan hadapan hingga ke buruh mahir, tenaga pengajar, petani, penternak serta seluruh individu yang menyumbang tenaga, masa dan kepakaran masing-masing untuk pembangunan ekonomi negeri serta negara umumnya.
Sambutan Hari Pekerja begitu dekat di hati saya kerana kedudukan Pulau Pinang sebagai lubuk rezeki yang mana bukan sahaja rakyat Pulau Pinang, malah ramai individu dan keluarga yang bermastautin serta berkelana setiap hari dari negeri-negeri jiran untuk mencari rezeki di negeri ini. Berkat usaha daripada semua pihak, Pulau Pinang telah mengukuhkan reputasi sebagai destinasi perdagangan antarabangsa tumpuan, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang berkembang dengan sangat pesat. Hasil kejayaan bersama, Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan dan inovasi teknologi utama Malaysia, dengan pelaburan pembuatan yang diluluskan bernilai RM17.3 bilion melibatkan 182 projek dan mewujudkan hampir 16,254 peluang pekerjaan pada 2024.
Seiring dengan pertumbuhan ekonomi mampan serta prestasi pelaburan menggalakkan, pasaran buruh di Pulau Pinang terus mengukuh yang mana berdasarkan data terkini daripada Survei Tenaga Buruh (STB) suku ke-4 tahun 2024, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 2.2 peratus. Pulau Pinang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) sebanyak 73.2 peratus, sekali gus membuktikan bahawa orang ramai semakin optimis terhadap pasaran buruh dan mendorong mereka mencari pekerjaan.
Kerajaan Negeri akan terus komited perjuangkan hak dan kebajikan pekerja melalui dasar-dasar yang inklusif, program latihan kemahiran serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi. Pembangunan sektor digital, hijau dan teknologi pintar akan terus diberi keutamaan agar para pekerja kita kekal relevan serta berdaya saing.
Saya juga menyeru kepada semua majikan untuk terus mengekalkan hubungan yang harmoni dan adil bersama para pekerja. Kejayaan jangka panjang sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada keuntungan, tetapi juga kepada kesejahteraan serta kebahagiaan tenaga kerja mereka. Marilah kita terus berganding bahu, memperkukuh semangat muafakat dan memperjuangkan masa depan yang lebih cerah untuk semua pekerja di negeri Pulau Pinang.
Selamat menyambut Hari Pekerja 2025.