Skip to content

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Tanggal 1 Syawal yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam di seluruh negara bakal diraikan mulai esok. Pada kesempatan ini, saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri khususnya kepada rakyat Pulau Pinang, tidak kira walau di mana jua anda berada.

Meskipun sambutan Aidilfitri tahun ini terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya berharap rakyat Pulau Pinang akur dan menerima keputusan ini dengan pematuhan kendiri yang lebih tinggi dalam mengawal keadaan dan wabak COVID-19 daripada menjadi lebih buruk. Semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ada hikmahnya dan saya percaya bahawa keputusan berat ini terpaksa dibuat demi jaminan kesihatan awam lebih baik kepada rakyat dan negeri yang kita cintai.

Sesungguhnya usaha yang dilakukan oleh semua pihak dalam memerangi pandemik ini telah mengetepikan jurang pemisah dan secara tidak langsung mengukuhkan lagi semangat perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian kaum yang sedia terjalin di negeri ini. Selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri berharap segala komitmen serta usaha pembangunan yang direncanakan dapat dilaksanakan secara inklusif, seimbang dan mampan, termasuklah pelaksanaan Gagasan Khaira Ummah 2030 yang telah digerakkan seiringan bagi menyokong kekuatan pentadbiran Islam sebagai agama rasmi di Negeri Pulau Pinang.

Di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi dek penularan pandemik COVID-19, dalam bulan yang baik ini diharapkan hasrat Kerajaan Negeri di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan tercapai, iaitu bagi pembinaan Masjid Bandaraya yang dicadangkan tapaknya di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan (SPS). Permohonan peruntukan tambahan berjumlah RM3.1 juta bagi merealisasikannya juga telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk kelulusan lanjut. Bagi memastikan pembangunan Syiar Islam terus diperkasakan di negeri ini, peruntukan RM500,000 telah diperuntukan di bawah MMK Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2021.

Menyedari aspek modal insan adalah tunjang penting kepada pembangunan masa hadapan Pulau Pinang, rancangan pemerkasaan institusi pendidikan terus diperkasakan antaranya menerusi program KAFA Menengah (KAFA-M) dan Pulau Pinang Mengajar (PPM) yang telah dirintis penubuhannya sejak dua tahun lalu menerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan pemantauan Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dengan memfokuskan kepada golongan pelajar peringkat menengah pelbagai kategori berhubung penerimaan kelulusan geran tahunan peringkat awal sebanyak RM800,000. Terkini adalah projek pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan (AL-ITQAN) baharu di atas tanah wakaf seluas tiga ekar merangkumi empat blok bangunan terdiri daripada 51 bilik darjah kondusif serta makmal sains (4) yang dijangka siap pada penghujung tahun 2022 dan beroperasi sepenuhnya awal tahun 2023 di atas tanah wakaf dekat Kampung Masjid, Teluk Kumbar juga bakal memberi nilai tambah kepada masyarakat Islam di negeri ini.

Umumnya, Kerajaan Negeri memahami sensitiviti yang dihadapi dan berharap rakyat dapat melihat sisi positif daripada keseluruhan pelaksanaan SOP ini. Semoga Pulau Pinang terus terpelihara dengan kesejahteraan dan kemakmuran serta membawa keberkatan dan rahmat kepada kita semua. Akhir kata:-

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Marilah kita saling memaafi.