Masalah utama rakyat Malaysia adalah ekonomi, khususnya keadaan ekonomi lembab yang menjejaskan perniagaan dan kenaikan harga barang yang menyebabkan wang tak cukup belanja bagi golongan makan gaji. Keadaan ekonomi yang meleset kian meruncing sekarang. Kenaikan harga barangan asas seperti ayam dalam musim Hari Raya memang menjadikan sambutan tahun ini lebih mencabar berbanding dengan tahun sebelumnya.
Keadaan ekonomi lembab ini disebabkan oleh pengenaan GST dan penurunan nilai matawang ringgit ekoran skendal kewangan 1MDB sebanyak RM50 bilion dan skendal donation RM4 bilion. Kenaikan harga minyak buat pertama kali sejak bulan April 2016, sungguhpun hanya 5 sen adalah petunjuk bahawa keadaan ekonomi akan bertambah lebih buruk lagi. Kini harga petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing pada harga RM1.75, RM2.10 dan RM1.60 seliter.
Kemelesetan ekonomi hanya boleh diatasi sekiranya tindakan tegas diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB dan “donation”. Itulah sebabnya kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap skandal pembelian 234 ekar tanah di Air Itam, Pulau Pinang, oleh 1MDB dengan harga RM1.3 bilion. Kerajaan negeri telah mengharamkan segala urusniaga tanah ke atas 234 ekar tanah di Air Itam itu sehingga skendal 1MDB dan “donation” ini diperjelaskan dan diselesaikan. Malah pengharaman segala urusniaga tanah milikan 1MDB juga diluluskan dalam satu usul di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada bulan Mei ini.
Saya tidak ada maklumat tentang laporan media luar negara bahawa kerajaan persekutuan ingin jualkan tanah 1MDB di Pulau Pinang kepada syarikat daripada Negara Cina. Saya juga tidak mengetahui langsung tentang laporan media bahawa pengharaman segala urusniaga tanah oleh kerajaan negeri atas tanah milikan 1MDB ada kaitan dengan kes dakwaan rasuah terhadap saya berkaitan dengan pembelian rumah saya baru-baru ini.
Saya hanya akan tegaskan bahawa saya memang tidak terlibat dalam amalan rasuah dan akan buktikan saya bersih bahawa penjual rumah tidak menerima sebarang faedah dan menfaat yang khas atau luarbiasa dan juga tidak ada hubungan perniagaan dengan kerajaan negeri. Dakwaan rasuah ini adalah satu konspirasi politik terhadap saya dan berniat jahat untuk mengalihkan perhatian awam daripada skendal rasuah sebenar BN dalam negara.
Selain daripada masalah utama ekonomi, keselamatan awam mendapat perhatian selepas penagkuan polis bahawa serangan bom tangan di Puchong baru-baru ini adalah kerja pengganas ISIS. Adalah diharapkan pihak polis boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ancaman ISIS daripada membazirkan sumber anggota, wang dan masa ke atas mereka yang menentang Perdana Menteri secara aman atau mentertawakannya.