Gema Aidilfitri yang berkumandang petanda tibanya 1 Syawal yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh negara. Alangkah moleknya dengan ketibaan hari kemenangan ini, kita sebagai rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang meneruskan usaha bagi menyantuni golongan yang lebih memerlukan sebagaimana yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan.
Besar harapan saya untuk terus menyaksikan nilai-nilai kasih sayang, perpaduan, toleransi serta meraikan kepelbagaian yang telah lama berakar umbi di negeri ini kian mekar mengharum supaya pembangunan negeri akan lebih menyeluruh dengan kemantapan nilai-nilai kemanusiaan di samping pembangunan kelestarian serta ekonomi.
Telah saya zahirkan tempoh hari, harapan saya pada suatu hari nanti adalah Pulau Pinang akan menjadi ‘tanah ilmu’ selain statusnya sebagai salah satu negeri penyumbang ekonomi terbesar negara. Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyahut hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim untuk Pulau Pinang mencapai status sifar kemiskinan tegar sebagai salah satu aspek yang perlu diambil kira bagi memastikan setiap rakyat mampu menikmati limpahan rezeki di negeri ini di samping membangun sebagai sebuah komuniti berilmu.
Sepanjang Ramadan, saya sendiri telah menjelajah ke seluruh daerah negeri ini untuk berbuka puasa bersama masyarakat dan komuniti masjid. Tidak dapat diungkap dengan kata-kata betapa terharu dan gembiranya saya apabila melihatkan komuniti yang harmoni serta sangat mengalu-alukan semua pihak termasuk yang bukan beragama Islam untuk turut merasai pengalaman berbuka puasa yang hanya dapat diadakan sekali dalam setahun. Sesungguhnya, keadaan tersebut telah mencerminkan akhlak murni umat Islam di negeri ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa berusaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan umat Islam di negeri ini di samping pembangunan-pembangunan lain tanpa sebarang kompromi dan diskriminasi. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, gunakanlah kesempatan untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan silaturahim tanpa mengira latar belakang anutan agama, bangsa, politik kepartian mahupun budaya.
Buat mereka yang pulang berhari raya di kampung halaman, diharapkan semua berhati-hati ketika memandu. Amalkan sifat bertolak ansur dan sabar. Bak kata pepatah, ‘biar lambat, asal selamat’. Ceriakan raya anda dengan pelukan serta linangan air mata kegembiraan, kesyukuran dan bukannya berdukacita.
Sekali lagi saya, isteri serta seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil kesempatan ini, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Saya mendoakan supaya sambutan hari raya yang disambut pada tahun ini menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Gemersik takbir mengundang hiba,
Salam diutus tanda ingatan,
Syawal dinanti menjelang tiba,
Salam diutus mohon kemaafan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir dan Batin.