Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Semua umat Islam di serata pelusuk dunia bakal meraikan Syawal setelah sebulan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukur, seperti saban tahun, di Malaysia, kita masih dapat berkongsi keriangan dan merayakan hari kebesaran bagi umat Islam secara bersama dengan bebas dalam sebuah negara yang merdeka, harmoni dan muhibah.
Meskipun zaman berubah, namun tradisi sambutan Aidilfitri masih utuh dan saya sendiri teruja apabila melihat jualan juadah lebaran seperti lemang, kuih raya tradisional serta ketupat masih mendapat sambutan dalam kalangan rakyat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi, bertukar-tukar buah tangan sebagai tanda ingatan juga masih subur diamalkan sekali gus mencerminkan nilai kasih sayang dalam meraikan kepelbagaian semakin mengukuh. Nilai-nilai murni inilah yang menyokong pembentukan manusiawi dan ia perlu dipelihara bagi memastikan negara ini bukan sahaja dapat mencapai kemajuan dalam pembangunan ekonomi semata-mata, malah juga sahsiah bangsa Malaysia yang berwibawa, kukuh jati diri serta berpaut utuh dengan martabat warisan dan budaya turun temurun.
Lebih 30 tahun pengalaman sebagai seorang ahli politik, saya sangat bersyukur kerana berkesempatan mendekati rakyat dari pelbagai latar belakang. Saya berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga akan diluangkan untuk mengeratkan lagi ukhuwah dan persaudaraan sesama kita dalam sebuah keluarga besar yang harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Ambillah peluang untuk menziarahi sanak-saudara mahupun berkunjung ke rumah terbuka seperti kelaziman setiap kali tibanya musim perayaan. Sebagaimana bulan Ramadan tahun ini, sambutan Aidilfitri ini juga akan saya gunakan dengan sebaiknya untuk berkunjung dan menziarahi rakan-rakan serta kenalan bagi memperkukuh ikatan ukhuwah sedia terjalin.
Di Pulau Pinang, aspek pembangunan syiar Islam senantiasa kekal terpelihara untuk pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau di seluruh negeri ini. Serentak itu, inisiatif memperkasa pendidikan Islam termasuk menaik taraf sekolah-sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz diteruskan dengan komitmen bahawa dalam arus kemajuan serta pengagihan kemakmuran, tiada sesiapa yang dipinggirkan selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 dan pembentukan gagasan Visi Penang2030.
Bersempena hari mulia, ingin saya berpesan supaya kita semua menggunakan kesempatan ini untuk mencipta memori baharu bersama-sama orang tersayang. Ziarahlah ibu ayah mahupun sanak-saudara di kampung halaman, mereka mungkin sudah lama menahan kerinduan, menanti kepulangan anak-anak di perantauan. Bagi mereka yang memandu, seperti kebiasaan, jalan raya pastinya akan sesak. Justeru, dalam keterujaan menyambut Aidilfitri, pandulah dengan berhemah dan utamakan keselamatan walau di mana jua berada, agar semua dapat pulang berhari raya dengan selamat.
Akhir kalam, saya mendoakan agar kita semua diberikan keberkatan, rahmat dan kedamaian. Ketepikan segala perbezaan, terus eratkan perpaduan dan semangat muhibah dalam jiwa kita. Marilah kita saling bermaaf-maafan, semoga Syawal ini menjadikan kita insan yang lebih cemerlang dan sejahtera.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.