Skip to content

Perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada 21 April 2023

Berakhirnya Ramadan, dan esok tibalah hari umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri bagi menzahirkan kesyukuran, kegembiraan dan makna kemenangan.

Menjelang Syawal ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, khususnya kepada rakyat Pulau Pinang yang dikasihi. Semoga lebaran ini menjadi medan penghubung silaturahim dan penyatuan antara kita sesama keluarga serta komuniti setempat.

Sejajar dengan semangat Aidilfitri, Kerajaan Negeri komited untuk terus menjaga, mentadbir, membangun dan memajukan negeri ini mengikut panduan serta acuan dalam aspirasi Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, di samping menerapkan nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan Malaysia Madani agar keberkesanan pelaksanaan dasar dan agenda pembangunan negeri ini kekal terjamin.

Mengambil semangat hari yang penuh bermakna ini juga, saya ingin menzahirkan sekalung penghargaan dan syukur kepada semua pihak termasuk seluruh rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi dalam bersama-sama mendokong Visi Penang2030 yang digagaskan sejak tahun 2018. Suntikan nilai LovePENANG yang tercetus di bawah gagasan tersebut secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi ikatan keharmonian serta perpaduan sedia ada di Pulau Mutiara yang kita kasihi ini.

Malah, dalam mendepani cabaran masa depan terutamanya untuk terus meletakkan Pulau Pinang di mata dunia, saya menyeru seluruh rakyat dan juga intipati yang membentuk negeri ini untuk bergerak selari dengan Kerajaan Persekutuan berteraskan aspek-aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan ke arah sebuah Malaysia yang lebih baik demi anak cucu kita.

Di Pulau Pinang, komitmen dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tidak pernah dinafikan. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM75.08 juta bagi tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM3.95 juta berbanding 2022 bagi tujuan mengurus, pembangunan masjid, surau serta institusi pendidikan Islam dan juga pelaksanaan program-program berkaitan. Malah, selain masjid-masjid yang sedang dalam pembinaan kini, tujuh (7) buah masjid lagi dengan jumlah pembiayaan RM18 juta daripada Kerajaan Negeri bakal dibangunkan sehingga tahun 2025.

Pada aspek pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan perkembangan pendidikan di sekolah-sekolah Islam yang mana bagi tahun 2023, sebanyak RM3.5 juta telah diperuntukkan kepada lapan (8) kategori sekolah agama di negeri ini. Semoga dengan segala perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan ini, ia akan memberi impak yang baik untuk kesejahteraan kehidupan umat Islam di negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

Dalam kita bergembira, tidak dilupakan kepada anggota keselamatan dan kesihatan kita yang bertugas pada hari lebaran ini, khidmat bakti demi menjaga kedaulatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negeri Pulau Pinang, khasnya adalah amat dihargai. Kepada yang dalam perjalanan pulang bertemu dengan orang tersayang, pandulah dengan cermat, semoga segalanya dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.