Saya, serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2021 kepada semua penganut agama Hindu, khususnya di negeri ini. Setiap tahun, perayaan Deepavali diraikan dengan penuh warna-warni dalam suasana penuh harmoni. Walaupun perayaan tahun sebelum ini disulami dengan amalan normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kemeriahannya tetap dirasai.
Hari Deepavali yang diraikan pada hari esok bakal melakarkan sejarahnya yang tersendiri sebagai sambutan perayaan yang pertama disambut sepenuhnya tanpa sekatan pergerakan rentas daerah mahupun negeri sebelum ini. Meskipun begitu, pematuhan SOP yang sudah menjadi normal baharu masih kekal relevan dan perlu dipatuhi bagi memastikan kita menang dalam perang melawan virus COVID-19.
Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, semangat perpaduan serta keprihatinan dalam mengharungi detik-detik sukar ini merupakan satu kejayaan yang besar dan perlu dikekalkan demi keselamatan dan kesihatan awam.
Tidak dinafikan bahawa ramai yang terkesan akibat wabak ini sehingga mencetuskan penguncupan ketara dari segi ekonomi. Melihat situasi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergerak secara proaktif dengan menjalinkan kerjasama erat bersama-sama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Misalnya melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja: Penjana Kerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dilaksanakan Perkeso, Pulau Pinang telah berjaya menempatkan 11,996 orang dalam pekerjaan pada tahun 2020. Setakat September tahun ini (2021), seramai 12,666 orang lagi berjaya ditempatkan di bawah program sama sekali gus membuka ruang penyelesaian terhadap kadar pengangguran di negeri ini.
Walaupun Pulau Pinang merupakan antara enam negeri yang mencatatkan kadar pengangguran yang rendah iaitu 3.5 sehingga 3.9 peratus dibandingkan dengan negeri-negeri lain sehingga Ogos tahun ini, kita masih mampu mengurangkan lagi angka ini selaras dengan pemulihan ekonomi negara, dan berdasarkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang dari Januari 2020 sehingga Mac 2021, dianggarkan sebanyak 15,596 peluang pekerjaan akan diwujudkan di negeri ini secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Dalam konteks kenegerian pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus mewujudkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam memperkasakan komuniti India di negeri ini. Selain peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB), pelbagai program dan projek khas dirangka bagi memastikan komuniti India di negeri ini bergerak seiringan dalam merealisasikan Tema C1 dalam Visi Penang2030 iaitu meningkatkan taraf kehidupan khususnya dalam kalangan komuniti rentan serta mengurangkan ketidaksamaan aspek pendidikan bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksana secara menyeluruh demi kelangsungan bersama.
Bertitik-tolak daripada itu, menerusi HEB, sebanyak lapan tanah perkuburan (dua di bahagian pulau; Seberang Perai, enam) dan krematorium Hindu dipulihkan serta dipantau dengan baik demi keselesaan para penganut. Begitu juga pada aspek pendidikan yang mana sehingga tahun ini, seramai 2,740 pelajar layak telah menerima biayaan biasiswa daripada HEB membabitkan jumlah keseluruhan RM3,892,777 bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua. Semoga sinaran cahaya tahun ini menerangi lembaran baharu buat kita semua dalam mengharungi cabaran masa depan.
“Deepavali Naal Vaalthukkal”.