Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Menjelang tanggal keramat 31 Ogos 2025 yang bakal kita raikan esok, genaplah 68 tahun tanah air tercinta ini menghirup udara kemerdekaan, sebuah anugerah tidak ternilai hasil jerih perih, keringat dan darah para pejuang terdahulu.
Kemerdekaan yang diraikan saban tahun bukan sekadar angka dalam lipatan sejarah, tetapi cerminan kekuatan perpaduan rakyat, semangat juang yang tidak pernah luntur serta tekad kental dalam melakar masa depan Malaysia yang bebas dan berdaulat. Dalam denyut nadi perjuangan itu, tersulam harapan, keberanian dan kesepakatan seluruh warga demi membina sebuah tanah air yang berdaulat, bermaruah serta sejahtera.
Tema sambutan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” bukan sekadar ungkapan indah, sebaliknya intipati terhadap makna kenegaraan kita yang diasaskan atas kesepakatan jiwa, persefahaman hati dan kasih sayang sesama kita serta menjunjung nilai kemanusiaan demi memelihara kemakmuran serta keharmonian dalam kepelbagaian. Inilah tiang seri yang mendirikan Malaysia, dan akan terus memayunginya hingga ke hari ini.
Selari dengan aspirasi Visi Penang2030 ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, usaha kita bukan sekadar membina pencakar langit atau memperluaskan jaringan digital. Lebih daripada itu, kita mengangkat martabat pembangunan insan, memperkukuh institusi yang diyakini dan memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kemajuan secara adil serta saksama. Sesungguhnya, inilah janji kita sebagai rakyat merdeka dengan membina negeri untuk semua, tanpa sesiapa yang tersisih atau terpinggir.
Dalam landskap dunia yang semakin mencabar meliputi ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim dan keresahan sosial, semangat perpaduan nasional mesti menjadi tiang kekuatan negara. Usah biarkan suara kebencian, politik perpecahan atau semangat perkauman sempit meracuni keharmonian yang telah lama kita bina bersama.
Adalah ditekankan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar simbol patriotisme, tetapi tanda cinta dan kesetiaan kita kepada tanah air. Janganlah kita tunggu orang lain memulakannya, sebaliknya kita sendiri harus menjadi contoh kepada inisiatif berkaitan. Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan megah di setiap jalan, kawasan perumahan, sekolah mahupun pejabat sebagai lambang perpaduan, penghargaan terhadap sejarah kemerdekaan serta bukti cinta yang tidak berbelah bahagi kepada negara.
Dalam aspek lain, Pulau Pinang akan terus memperkasa pendidikan, memperkukuh ekonomi digital dan memastikan setiap anak negeri ini tanpa mengira kaum, agama ataupun latar belakang memperoleh peluang yang adil serta saksama untuk maju dan berjaya. Inilah erti sebenar kemerdekaan, kebebasan untuk membina masa depan secara bersama, demi negeri dan negara yang lebih sejahtera dan inklusif.
Marilah kita memupuk persefahaman antara komuniti, menyemai nilai toleransi dan membina sebuah negeri yang makmur, rukun serta saling menghargai. Inilah jiwa sebenar sebuah negeri Madani yang mana bukan sahaja membangun dari segi fizikal, malah juga membina kekuatan akhlak serta nurani, seiring dengan gagasan Malaysia Madani.
Marilah kita menyambut Hari Kebangsaan ke-68 ini dengan tekad yang teguh dan hati yang bersatu. Kemerdekaan bukan sekadar kisah masa lalu untuk dikenang, tetapi amanah yang wajib dipikul dan diteruskan oleh kita serta generasi akan datang. Semoga semangat patriotisme dan kecintaan kepada tanah air terus menyala dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-68.
Sekian, terima kasih.