Thaipusam merupakan antara sambutan keagamaan yang diraikan secara besar-besaran khasnya oleh penganut beragama Hindu di seluruh dunia. Saban tahun di Pulau Pinang, Kuil Arulmigu Balathandayuthapani menjadi tumpuan utama bagi memperingati kemenangan Dewa Murugan menentang kejahatan, melambangkan ketaatan, disiplin diri dan kekuatan rohani dalam menegakkan kebaikan demi manusia sejagat.
Berlandaskan nilai-nilai murni yang tertanam dalam erti kata Thaipusam, ia adalah wajar diteladani merentas agama dan budaya, serta menjadi asas penting dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan saling menghormati. Di Pulau Pinang, kita membuktikan bahawa kestabilan politik, tadbir urus baik serta kepimpinan inklusif mampu mewujudkan ruang kebersamaan yang mana semua komuniti dapat merasa, didengari, dihormati dan dilibatkan dalam arus pembangunan Negeri.
Menyentuh mengenai pembangunan modal insan, Kerajaan Negeri terus komited terutamanya dalam memastikan pembangunan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terus memperoleh perhatian. Malah, pengumuman oleh YAB Perdana Menteri berhubung peruntukan sebanyak RM50 juta bagi penyelenggaraan SJKT di seluruh negara disambut baik oleh Kerajaan Negeri, dan umumnya ia dijangka turut memberi manfaat kepada keseluruhan 28 SJKT di Pulau Pinang.
Selain peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri turut memainkan peranan proaktif yang mana pada tahun lalu, sebanyak RM2.42 juta telah disalurkan bagi menaik taraf infrastruktur sekolah, penyediaan kemudahan digital, papan pintar serta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat sejajar dengan keperluan abad ke-21 khasnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Mengambil contoh terdekat, pembangunan di SJKT Ramakrishnan, yang mana bermula dari sebuah blok bangunan, hasil bantuan serta sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan setempat serta Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB), institusi pendidikan berkaitan kini megah berdiri dengan kepelbagaian kemudahan untuk dinikmati 339 pelajarnya. Bagi SJKT Rajaji di Air Itam, saya berasa amat gembira apabila sekolah tersebut akhirnya bakal memiliki bangunan sendiri yang lebih sempurna dan selesa untuk anak-anak kita demi pembangunan aset modal insan berterusan. Adalah diharapkan proses pembangunan sekolah ini berjalan dengan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Hakikatnya, sambutan Thaipusam turut menyumbang kepada percambahan sektor pelancongan negeri, iaitu merancakkan ekonomi setempat serta memberi manfaat kepada para peniaga kecil, pengusaha pelancongan dan lokaliti tempatan. Secara keseluruhan, Thaipusam di Pulau Pinang menjadi bukti bahawa kepelbagaian budaya dan agama bukan sahaja memperkukuh perpaduan rakyat selari dengan Visi Penang2030 dan gagasan Malaysia Madani, malah ia juga menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi negeri. Apatah lagi dengan adanya penerbangan terus antara Chennai dan Pulau Pinang, ia bukan sahaja mengeratkan hubungan budaya antara kedua-dua wilayah serta negeri, malah dijangka meningkatkan lagi ketibaan pelancong dari India ke negeri ini.
Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan kuil, para sukarelawan, agensi keselamatan dan semua pihak yang bekerjasama menjayakan sambutan Thaipusam saban tahun. Sesungguhnya, pepatah yang saya sentiasa tekankan ‘budaya melambangkan identiti kita, dan identiti melambangkan tanggungjawab kita’. Warisan budaya ini perlu diteruskan serta diturunkan dari generasi kepada generasi seterusnya demi pengekalan identiti asal usul kita.
Selamat Menyambut Thaipusam!
Vel! Vel!