Skip to content

Perutusan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang untuk Sambutan Hari Thaipusam 2025

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Vanakam!

Dengan penuh rasa syukur dan suasana meriah khususnya dari Pulau Pinang, sambutan Thaipusam kini tiba yang mana ia merupakan hari kebesaran bagi penganut agama Hindu di seluruh dunia. Mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu dalam negara khasnya di negeri ini.

Saban tahun, Thaipusam disambut dengan meriah sebagaimana perayaan-perayaan lain di Pulau Pinang. Pada setiap tahun jua, selain penganut agama Hindu, pelancong dari dalam dan luar negara akan berada di negeri ini bersempena sambutan berkenaan. Situasi ini mencerminkan bahawa Pulau Pinang sebagai ikon perpaduan yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama meskipun dalam arus pembangunan pesat, tradisi warisan serta budaya terus subur dan mekar bersama.

Mengambil semangat perayaan Thaipusam yang meraikan semangat kebaikan menentang kebatilan, Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kemaslahatan dan kepentingan rakyat telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memantapkan kedudukan ekonomi dan pembangunan sosial dalam kalangan rakyat termasuk masyarakat India dengan adil, saksama serta progresif iaitu dengan memastikan tiada pihak yang ditinggalkan dalam arus pemodenan dunia yang tidak terkejar.

Pelbagai rencana telah dilaksanakan, malah banyak lagi sedang diatur demi memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam pembangunan negeri secara menyeluruh. Selain daripada memfokuskan pada sektor pembuatan, pelaburan dan perniagaan serta agroteknologi, Pulau Pinang juga bersiap sedia dan teruja dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 lebih-lebih lagi apabila Pulau Pinang dipromosikan sebagai lokasi pelancongan warisan.

Hasil kerja keras Kerajaan Negeri dalam mewujudkan penerbangan terus antara Chennai dengan Pulau Pinang pada tahun lalu membuahkan hasil apabila peningkatan kedatangan pelancong dari India sebanyak 51.43 peratus telah direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kerajaan Negeri percaya dengan pelan dan perancangan strategik yang dirangka, ia bakal menyaksikan pertumbuhan signifikan dalam sektor pelancongan dan mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan warisan di mata dunia, sekali gus menerima kedatangan pengunjung yang berlipat ganda dari negara India sempena sambutan Thaipusam pada tahun hadapan.

Arakian, Kerajaan Negeri memerlukan sokongan dan dokongan daripada masyarakat India bagi memastikan pembangunan yang seimbang dapat dicapai. Tanpa sokongan masyarakat India, ibarat kurangnya satu ramuan dalam resepi kejayaan bersama. Marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi memastikan semua pihak termasuk masyarakat India cemerlang baik dalam aspek pendidikan, ekonomi, pemeliharaan kebudayaan malahan kesejahteraan sosial.

Sesungguhnya, kemakmuran dan pembangunan yang sudah kita kecapi kini merupakan hasil daripada kemampuan kita semua mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat bersatu padu untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni serta muafakat. Semoga sambutan ini disambut dengan penuh keimanan, kesyukuran, rendah hati dan perpaduan. Sekali lagi, selamat menyambut Hari Thaipusam. Vel! Vel!