Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Pulau Pinang, khususnya kepada masyarakat yang beragama Hindu dan Sikh. Sebagaimana definisi Deepavali atau Diwali yang diibaratkan sebagai Pesta Cahaya, semangat kemenangan oleh kuasa kebaikan ke atas kejahatan yang menjadi simbolik perayaan ini seharusnya dijadikan iktibar kepada kita semua untuk memekarkan lagi ikatan perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin kini.
Mendepani impak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk terus mewujudkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam memperkasakan komuniti India di negeri ini. Pelbagai program dan projek khas dirangka bagi memastikan komuniti India di negeri ini bergerak seiringan dalam merealisasikan serta mempercepatkan pencapaian Visi Penang2030 iaitu sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Sesungguhnya, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk menjayakan agenda perumahan rakyat yang mampu memberi nilai tambah lebih baik kepada masyarakat Pulau Pinang terutamanya dari segi peningkatan status ekonomi dan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan. Ini termasuk tekad Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan kediaman yang kondusif kepada penduduk Ladang Kalidonia setelah lebih 30 tahun mereka memperjuangkan sebuah kehidupan yang kondusif dan berkualiti khasnya bersama-sama keluarga tersayang. Lazimnya, ia merupakan ‘hadiah’ yang paling bermakna kepada penduduk Ladang Kalidonia bersempena sambutan Pesta Cahaya tahun ini.
Sebagaimana ditekankan, Kerajaan Negeri memandang serius akan aspek pengukuhan dan pemerkasaan modal insan. Bertitik tolak dari itu, saban tahun peruntukan khas disalurkan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan kerana kita percaya bahawa suasana pembelajaran serta pengajaran lebih selesa bakal membantu para pelajar mencapai potensi pembelajaran yang lebih baik. Selaras itu, Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang telah menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi yang mana dari tahun 2010 sehingga September 2022, seramai 2,833 pelajar layak telah menerima biayaan biasiswa membabitkan kos bernilai RM4,042,777.
Malah, sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; tadika di sekolah Tamil (dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM150,000); Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000). Pada masa sama, bantuan khusus turut disalurkan kepada masyarakat India melalui peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada HEB bagi melaksanakan pelbagai projek khas pada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan.
Dalam kita menyelami makna Diwali, tiada pihak yang akan dipinggirkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bagai aur dengan tebing; berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Kita hidup dalam kesepakatan dan keharmonian dengan nilai ❤️PENANG di tanah bergelar Pulau Pinang. Semoga cahaya Deepavali menyinari perjalanan serta kehidupan kita dan terus dijauhi dengan segala kuasa kejahatan. Selamat menyambut Hari Deepavali.
“Deepavali Naal Vaalthukkal”