Skip to content

Perutusan Sambutan Hari Deepavali oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada 10 November 2023

Sambutan Hari Deepavali sebagaimana perayaan lain yang diraikan di Malaysia tanpa mengira bangsa dan latar belakang budaya penuh warna-warni sekali gus melambangkan betapa makmur dan mekarnya ikatan perpaduan sesama kita, khususnya di Pulau Pinang. Ibarat perkataan ‘deepam’ dalam ungkapan ‘Deepavali’ bermaksud ‘cahaya’ atau dalam kata lain melambangkan kemenangan kuasa kebaikan ke atas kejahatan, begitu juga perayaan tahun ini yang akan memberi ‘cahaya’ menikmati kehidupan yang lebih baik dengan dilimpahi kebahagiaan berpanjangan.

Di Pulau Pinang, sumbangan dan bakti masyarakat India dalam pembangunan negeri adalah penting dan melalui pendekatan progresif yang direncanakan, Kerajaan Negeri akan terus menggerakkan dan memperkasakan peranan masyarakat India baik dari segi politik, sosial mahupun ekonomi. Justeru, bagi memastikan segala kemajuan pembangunan dapat dinikmati dengan setara dan mengambil kira kepentingan semua kaum, Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang akan terus merangka dasar berimpak yang dapat membantu menangani keperluan bukan sahaja masyarakat India tetapi juga semua kaum di negeri ini seiring dengan matlamat untuk memacu Visi Penang2030.

Tidak cukup dengan itu, pada aspek infrastruktur dan pemerkasaan akademik, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui Bajet tahunan sejak tahun 2009. Kesemua 28 sekolah Tamil memperoleh faedah daripada peruntukan yang disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pelbagai kegunaan pembangunan berkaitan pendidikan, yang mana sehingga kini lebih RM25 juta telah disalurkan demi kebaikan aspek berkenaan. Malah, di bawah kerangka Visi Penang2030 juga, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang untuk melaksanakan projek atau program khas merangkumi aspek pembangunan pendidikan, infrastruktur dan juga perubatan.

Saya ingin menekankan bahawa semua sekolah Tamil di Pulau Pinang mempunyai kelas pintar menggunakan kaedah pembelajaran abad ke-21 bagi memastikan para pelajar didedahkan dengan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Malah, Kerajaan Negeri turut membekalkan kelengkapan komputer, smart board, smart panel, smart TV, tab dan lain-lain keperluan demi menyuntik semangat belajar dan melahirkan pelajar yang kreatif serta kritis. Hasilnya, ada sekolah-sekolah Tamil di negeri ini yang berjaya melakar pencapaian dan pengiktirafan membanggakan Pulau Pinang pada peringkat antarabangsa. Walaupun bidang pendidikan bukanlah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun kita tetap berbangga kerana menerusi penyaluran peruntukan negeri, kita telah berjaya melahirkan modal insan berbakat besar dalam memacu kemajuan negeri pada masa hadapan.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, peruntukan ditingkatkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000). Bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seramai 2,932 pelajar yang layak telah menerima biayaan biasiswa berjumlah RM4,180,367.33 sejak tahun 2010 sehingga 2023.

Selain itu, melalui agenda perumahan rakyat, Kerajaan Negeri bertekad menyediakan tempat tinggal yang kondusif bagi memastikan kualiti kehidupan rakyat lebih baik. Ini termasuk usaha Kerajaan Negeri kini dalam membangunkan tanah bagi menyediakan kediaman kekal dan selesa untuk penduduk di Kampung Manis yang terletak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai, Parlimen Batu Kawan. Inisiatif berkaitan cukup membuktikan komitmen saya dan juga barisan kepimpiman Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula lokaliti tersebut demi selesa rakyat negeri ini.

Inilah antara manifestasi kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga kini demi pembangunan berterusan masyarakat berketurunan India di negeri ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap semua usaha yang direncanakan akan membantu meningkatkan keberdayatahanan masyarakat India sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang menginspirasikan dunia.

Mengambil kesempatan ini, saya berharap perayaan Deepavali dapat mengeratkan silaturahim sesama kita, semoga cahaya sambutan berkaitan memberi kebaikan dalam kehidupan kita, kemakmuran, kesejahteraan dan kesihatan yang baik berpanjangan. Buat mereka yang pulang ke kampung halaman, rancanglah perjalanan dan pastikan anda selamat sampai ke destinasi yang dituju. Selamat Menyambut Hari Deepavali.

‘Deepavali Naal Vaalthukkal’.