Skip to content

PERUTUSAN SAMBUTAN HARI KRISMAS 2025 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

Musim penuh kemeriahan kembali, yang mana di segenap penjuru negeri, hiasan Krismas yang indah memancarkan kegembiraan dan menyemarakkan semangat perayaan penuh bermakna ini, demi mencipta detik istimewa yang menghubungkan hati, mengukir senyuman serta kebahagiaan kepada semua. Malah, setiap kali menjelangnya bulan Disember, saat ini lazimnya dinanti-nantikan oleh umum tanpa mengira kaum, agama dan juga latar belakang.

Bermula pada malam ini dan keesokan khususnya, penganut agama Kristian di seluruh dunia menyambut Krismas iaitu sebuah sambutan perayaan suci yang mengingatkan kita akan kelahiran Yesus serta mesej sejagat tentang kasih sayang, pengorbanan dan harapan untuk seluruh umat manusia. Krismas bukan sekadar sebuah perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi musim kebersamaan yang diraikan, sarat dengan kegembiraan, kehangatan kekeluargaan, persahabatan dan ketenangan jiwa sambil menyemai nilai kebaikan dalam kehidupan seharian.

Seiring dengan nilai kasih sayang dan keprihatinan yang dibawa oleh semangat Krismas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited untuk menjaga kebajikan semua komuniti. Sokongan kepada komuniti bukan Islam, termasuk komuniti Kristian diteruskan secara konsisten melalui pendekatan yang inklusif. Umumnya, saya dan barisan kepimpinan kini bukan sahaja memastikan rakyat negeri ini dapat mengamalkan hal ehwal keagamaan masing-masing tanpa sebarang halangan, malah juga menyediakan kepelbagaian perkhidmatan serta kemudahan asas bagi menyokong aktiviti keagamaan tersebut. Salah satu inisiatif penting yang telah diwujudkan adalah agensi berkaitan negeri (GLC), Penang Harmony Corporation (HARMONICO) yang bertujuan membina dan mempromosikan konsep baharu keharmonian beragama bagi menghadapi cabaran kepelbagaian agama dalam dunia global.

Di Pulau Pinang, saya melihat sambutan Krismas peringkat negeri yang diadakan pada awal bulan ini adalah amat istimewa. Setelah 25 tahun, perarakan khas bersempena sambutan berkaitan telah berjaya diadakan, malah apa yang amat menyentuh hati saya adalah semangat luar biasa para peserta dan gereja-gereja yang mengambil bahagian tetap berkobar-kobar walaupun dalam keadaan hujan lebat. Kebersamaan berjalan sehingga penghujung di dalam suasana ini secara tidak langsung telah mencerminkan kekuatan perpaduan serta semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini. Saya berharap suntikan semangat ini akan terus bernyala, dan tradisi ini diteruskan untuk tahun-tahun seterusnya.

Bagi saya, inilah antara keajaiban sebenar Krismas yang ingin kita semai, apabila nilai kasih sayang diterjemahkan kepada tindakan yang menyentuh serta memberi manfaat kepada kehidupan rakyat sejagat. Ketika kita menutup lembaran tahun 2025, marilah kita melangkah dengan tekad dan penuh harapan yang baharu untuk masa hadapan yang sejahtera serta gemilang. Semoga musim perayaan ini menjadi ruang untuk kita bermuhasabah, mengumpul kekuatan dan terus membina Pulau Pinang yang memberi inspirasi kepada semua.

Saya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua yang meraikannya, serta selamat menikmati cuti akhir tahun kepada seluruh rakyat negeri ini. Semoga Krismas kali ini membawa kedamaian, kebahagiaan dan kesejahteraan yang berpanjangan buat anda sekeluarga.