Pada tanggal 16 September 2025, seluruh rakyat Malaysia sekali lagi bersatu hati memperingati detik bersejarah kelahiran sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat iaitu Malaysia. Penyatuan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 merupakan mercu tanda kebersamaan, lambang perpaduan identiti dan kekuatan sebenar negara yang lahir daripada kemajmukan bangsa, hidup secara rukun dalam kepelbagaian di bawah satu bendera, Jalur Gemilang.
Di Pulau Pinang, semangat ini diterjemahkan menerusi komitmen merealisasikan gagasan Visi Penang2030 – sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Visi ini bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi sebuah iltizam bersama untuk membina negeri hijau, sejahtera, inklusif serta berdaya saing di persada antarabangsa seiring dengan intipati ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’. Justeru, marilah kita menzahirkan kesyukuran dengan memperteguh semangat persaudaraan, mengangkat prinsip kemanusiaan, keadilan dan rahmah sebagai teras kemajuan, yang mana setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang diraikan serta dimartabatkan.
Mewakili seluruh rakyat negeri ini, kami amat berterima kasih dengan pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini. Pada malam ini, kita akan menyaksikan sambutan gilang gemilang yang menghimpunkan seluruh rakyat Malaysia sebagai satu bangsa di Pulau Mutiara ini. Mengambil peluang ini juga, ucapan selamat datang saya dahulukan buat semua.
Sebagaimana ditegaskan YAB Perdana Menteri, erti kata perpaduan dan keharmonian dalam konteks negara memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi. Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan, dengan jumlah pelaburan pembuatan diluluskan mencecah RM12.5 bilion pada separuh pertama tahun 2025. Keyakinan pelabur antarabangsa ini lahir daripada kestabilan, daya saing dan semangat kebersamaan yang kita bina bersama.
Justeru, marilah kita memperteguh tekad untuk memelihara keharmonian, memupuk toleransi dan memperkukuh semangat setiakawan. Kita perlu melangkah seiring bagi memastikan Malaysia terus teguh berdiri sebagai sebuah negara yang inklusif dan berdaya maju. Dengan semangat Malaysia Madani dan hala tuju Penang2030, saya yakin Pulau Pinang akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara.
Semoga sambutan Hari Malaysia pada tahun ini menjadi obor yang terus menyala. Marilah kita melangkah bersama, bergandingan tangan, berpaut hati pada tekad yang sama bagi memastikan Malaysia terus teguh berdiri sebagai negara yang terbilang dan gemilang di persada dunia.
Selamat Menyambut Hari Malaysia!