Skip to content

Perutusan Sambutan Hari Thaipusam oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, George Town pada 4 Februari 2023

Pada kemuncak malam bulan penuh dalam bulan ‘Thai’ iaitu bulan kesepuluh mengikut kalendar Tamil, penganut beragama Hindu seluruh dunia meraikan perayaan penting iaitu Thaipusam. Malah, setelah dua (2) tahun disambut berasaskan prosedur operasi standard (SOP) ketat ekoran pandemik COVID-19, sudah pastinya sambutan pada tahun ini amat ditunggu-tunggu.

Di Pulau Pinang, kita menjangkakan seramai 1.5 juta penganut beragama Hindu bakal membanjiri negeri ini selama tiga (3) hari bermula hari ini bagi acara-acara sembahyang dan juga aktiviti keagamaan lain termasuk menunaikan nazar.

Sebagaimana meriahnya perayaan-perayaan utama lain di Malaysia, begitu juga harapan kita untuk melihat hari kemenangan tersebut disambut dengan penuh pengertian yang mendalam dalam suasana penuh harmoni dan hormat-menghormati antara satu sama lain berlandaskan nilai-nilai perayaan yang memiliki keunikan tersendiri ini. Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengajak semua pihak untuk memanfaatkan sambutan Thaipusam dengan membulatkan tekad serta keazaman ke arah memperbaiki dan memperkukuhkan semangat perpaduan demi kelangsungan kemajuan serta pembangunan negeri ini.

Dalam usaha untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini, Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang bagi melaksanakan pelbagai projek khas merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Pada dasarnya, dari tahun 2010 sehingga 2023, seramai 2,932 pelajar layak telah menerima biayaan biasiswa daripada HEB Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan RM4,180,367.33 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Serentak itu, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, peruntukan dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).

Sempena hari Thaipusam yang mulia ini, saya amat berbesar hati untuk mengumumkan satu berita baik khas kepada masyarakat India Pulau Pinang yang mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebidang tanah seluas empat (4) ekar di Taman Bagan, Butterworth untuk sekolah Tamil ke-29 di Pulau Pinang. Tapak sekolah ini terletak di Taman Bagan, Seberang Perai Utara (SPU), bersebelahan Lot 5083 dan 5084, Seksyen 3, Bandar Butterworth.

Saya berharap dengan kelulusan tanah yang telah dimuktamadkan beberapa hari lalu, proses penempatan semula SJKT Ladang Badenoch dari Kuala Ketil, Kedah ke Taman Bagan, Pulau Pinang akan dimulakan dengan segera. Saya pasti inilah berita gembira dan antara hadiah yang paling bermakna untuk masyarakat India, khususnya di kawasan terlibat.

Semoga sambutan Thaipusam ini meningkatkan azam dan iltizam kita semua sebagai rakyat Pulau Pinang untuk terus mempertahankan keharmonian yang menjadi tonggak pembangunan negeri secara keseluruhan, sekali gus memperkasakan daya saing sihat dalam merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Selamat Menyambut Hari Thaipusam! Vel! Vel!