Skip to content

Perutusan Sambutan Perayaan Ponggal oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Komtar, Geroge Town pada 14 Januari 2023

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal, khusus kepada semua rakan-rakan yang beragama Hindu.

Dengan ketibaan bulan ‘Thai’ mengikut kalendar Tamil, ia menandakan tibanya perayaan ‘Ponggal’ iaitu amalan tradisi masyarakat India bagi meraikan hari menuai.

Malah, sebagaimana terjemahan perayaan Ponggal terhadap rezeki yang melimpah ruah, begitu jua tekad dan keazaman kita semua dalam menempuhi tahun baharu 2023 ini demi mencapai Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Pengalaman lalu sudah pastinya akan menjadi guru terbaik sebagai panduan untuk menjalani kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang cakna akan kebajikan rakyatnya, pastinya kita akan terus komited melaksanakan program-program i-Sejahtera dengan peruntukan RM53 juta pada tahun ini meliputi semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, mengambil semangat dan intipati Ponggal yang membawa rezeki berlimpah ruah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan memastikan rakyatnya menikmati semua kekayaan serta pembangunan yang dikecapi. Tiada pihak yang akan tertinggal termasuk fokus pembangunan membabitkan bahagian pulau dan juga Seberang Perai yang merupakan masa depan negeri kita yang tercinta ini.

Selain kekayaan ekonomi negeri kita, kita juga harus berbangga dengan nilai keharmonian yang termeterai sehingga kini. Walaupun kita mempunyai latar belakang, keturunan dan agama yang berbeza, kita tetap mampu mencorak kemesraan yang seterusnya mengukir seribu senyuman dalam kalangan kita di Pulau Mutiara ini.

Justeru, semoga sambutan Ponggal ini terus memupuk nilai-nilai kebersamaan dan nadi perpaduan yang menjadi tunjang penting kepada pembangunan serta kesejahteraan kepada Pulau Pinang dan rakyatnya secara keseluruhan.

Ponggal Nal Valthukal!