“Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum” merupakan ungkapan yang memberi makna besar kepada masyarakat India apabila tibanya bulan ‘Thai’ mengikut kalendar Tamil. Ia menandakan tibanya pesta menuai atau pesta ponggal yang disambut dengan penuh meriah oleh masyarakat India menjadikan ia sebagai salah satu daripada acara tradisi terbesar selepas sambutan Deepavali dan Thaipusam. Ketibaan bulan baru sebagai simbol kepada permulaan baru disambut dengan penuh hikmah dengan harapan baharu supaya kehidupan terus berada dalam kesejahteraan serta keharmonian. Ia diraikan selama empat hari sebagai amalan tradisi dan saat yang istimewa kepada masyarakat India.
Sebagaimana simboliknya makna ponggal itu sendiri iaitu “melimpah-ruah”, begitu jugalah harapan Kerajaan Negeri agar Pulau Pinang terus dilimpahkan dengan keamanan, perpaduan dan perbezaan yang dikecapi selama ini tidak akan menjadi penghalang kepada kestabilan politik negeri ini.
Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan membuktikan komitmen dan tanggungjawab Kerajaan Negeri dalam menyiapkan Negeri ini ke arah Penang2030. Kerajaan Negeri adalah komited dalam memantapkan modal insan dan menyediakan peluang yang sama rata di samping membina infrastruktur asas dan mengamalkan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) sebagai teras kepada pentadbiran negeri ini.
Semoga dengan kehadiran bulan baru ‘Thai’ ini, ia akan meningkatkan lagi iltizam kita dalam usaha memperkasa keamanan dan keharmonian bersama. Semoga tahun ini turut menjadi tahun yang sungguh sejahtera serta makmur kepada Pulau Pinang.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ponggal atau ‘Ponggal Valtukkal’ kepada seluruh masyarakat India khususnya komuniti Tamil di Pulau Pinang.