Skip to content

Perutusan Sambutan Perayaan Thaipusam oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di KOMTAR, George Town pada 18 Januari 2022

Thaipusam merupakan salah satu upacara keagamaan penting bagi penganut agama Hindu di seluruh dunia termasuk Pulau Pinang. Diraikan pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, hari Thaipusam merupakan peluang untuk penganut agama Hindu menunaikan nazar. Meskipun sambutan tahun ini masih terikat dengan amalan normal baharu serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), namun penghayatan dan kemeriahannya tetap sama dirasai.

Pada hari yang cukup bermakna ini, saya bersama-sama seluruh pimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru semua rakyat Pulau Pinang agar menghayati semangat perpaduan yang menjadi teras kepada keharmonian serta kestabilan pembangunan di negeri kita sehingga kini. Sebagai sebuah negeri berbilang kaum dan agama, kita perlu meraikan kepelbagaian ini sebagai sebuah keluarga sebagaimana ditekankan dalam gagasan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Pada aspek kebajikan serta kesejahteraan sosioekonomi masyarakat berketurunan India di Pulau Pinang, saban tahun, pelbagai bentuk bantuan dan pembangunan infrastruktur disediakan, misalnya meneruskan penyaluran peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi melaksanakan projek-projek khas sama ada pada aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan juga pembangunan. Malah, pelantikan 12 Pesuruhjaya dalam struktur organisasi HEB juga diyakini dapat memantapkan lagi segala perancangan serta pelan tindakan khusus demi memanfaatkan masyarakat India secara menyeluruh di negeri ini.

Aspek pendidikan yang menjadi teras pembentukan modal insan kepada pembangunan Pulau Pinang khususnya, sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan dana daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil, dana pendidikan dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).

Tidak terhenti di situ sahaja, sejak ditubuhkan pada 2008, HEB juga telah menyalurkan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sehingga kini, seramai 2,833 pelajar layak menerima manfaat berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM4,042,777.

Tanpa mengira bangsa, agama dan juga latar belakang, teruslah kita bergandingan tangan dalam menterjemahkan misi dan visi negeri kita. Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk bergerak bersama-sama seluruh rakyat negeri ini sebagai sebuah pasukan bagi mencapai serta merealisasikan dasar-dasar yang telah dan juga bakal direncanakan demi negeri yang kita cintai ini.

Selamat Menyambut Hari Thaipusam! Vel! Vel!