Skip to content

Perutusan Sambutan Perayaan Thaipusam oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Setiap tahun, sambutan Thaipusam di Pulau Pinang memperlihatkan nilai perpaduan, kepelbagaian, saling hormat-menghormati dan toleransi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Dirayakan pada bulan ‘Thai’ bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia.

Di Pulau Pinang, Thaipusam merupakan salah satu acara sambutan yang penting serta diadakan secara besar-besaran. Disambut dengan penuh keagamaan oleh para penganut dengan lokasi tumpuan di Kuil Hilltop Murugan, Jalan Kebun Bunga, secara tidak langsung, kemeriahan tersebut telah menjadi begitu sinonim dan simbolik kepada negeri Pulau Pinang dalam kalangan pelancong tempatan serta antarabangsa setiap tahun.

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita tidak wajar melihat Thaipusam sebagai perayaan satu kaum semata-mata, sebaliknya pada konteks yang lebih luas sebagai lambang keterbukaan dan muhibah di dalam sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian budaya serta adat resam. Umumnya, Kerajaan Negeri komited untuk mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini dan akan terus berusaha membantu serta bekerjasama dengan semua lapisan rakyat ke arah merealisasikan visi Penang2030. Secara dasarnya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pembangunan pesat sahaja adalah tidak mencukupi sekiranya masih ada dalam kalangan kita yang masih mengamalkan semangat perkauman dan wujud kelompok tersisih daripada arus pembangunan perdana ini.

Pada aspek pembangunan komuniti India di Pulau Pinang, sebuah bangunan di Jalan Macalister bernilai RM50 juta telah dijadikan sebagai ibu pejabat Hindu Endowment Board (HEB) sejak tahun 2010. Malah, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan tahunan kepada HEB daripada RM1.1 juta kepada RM1.5 juta sejak tahun 2018.

Bersempena ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat India yang beragama Hindu khususnya di Pulau Pinang. Marilah kita bersama-sama menyambutnya dengan penuh semangat Thaipusam demi kemakmuran serta kesejahteraan negeri ini.

Semoga perayaan ini disambut dengan semangat harmoni dan penuh bermakna kepada kita semua.

Selamat Menyambut Thaipusam!