Bulan mengambang penuh dalam bulan Thai berpandukan kalendar Tamil melambangkan tibanya sambutan perayaan Thaipusam bagi meraikan tanda kemenangan kebaikan ke atas kejahatan, serta kesedaran terhadap pentingnya aspek kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan dalam kehidupan.
Seperti yang sedia maklum, Thaipusam di Pulau Pinang tidak hanya sekadar perayaan keagamaan, malah ia telah menjadi salah satu sambutan yang dinanti-nantikan oleh warga tempatan mahupun pelancong asing meliputi pelbagai profesionalisme. Perarakan menuju ke Kuil Hilltop Murugan lazimnya disambut secara besar-besaran yang saban tahun telah menarik jutaan kemasukan ke Pulau Pinang khususnya penganut beragama Hindu.
Dalam pada itu, saya percaya bahawa peranan kerajaan adalah amat penting dalam membentuk sebuah negeri dan negara yang maju di samping melahirkan sebuah masyarakat Madani. Justeru, selain daripada pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat negeri ini supaya tidak ada pihak yang tercicir dalam aspek peluang ekonomi, pendidikan serta kebajikan menerusi objektif dan teras yang telah ditetapkan dalam Visi Penang2030.
Menyentuh mengenai aspek pembangunan keagamaan, pendidikan, perubatan serta lain-lain khas bagi masyarakat India di negeri ini, Kerajaan Negeri lazimnya telah bersetuju untuk menaikkan peruntukan daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta untuk disalurkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB). Malah, sejak penubuhan badan ini pada tahun 2008, HEB telah menyalurkan bantuan pendidikan kepada para pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Secara keseluruhan, dari tahun 2010 sehingga kini, seramai 3,264 pelajar yang layak telah menerima biayaan biasiswa dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4,578,617.33 bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan untuk menyediakan keselesaan serta suasana Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang lebih kondusif kepada anak-anak pewaris bangsa, bagi Kerajaan Negeri, kita telah menaikkan peruntukan daripada RM1.75 juta kepada RM2 juta bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Menyedari bahawa pendidikan merupakan aspek yang amat penting dalam pembangunan sosial, Kerajaan Negeri percaya bahawa bantuan harus disalurkan sehingga ke peringkat akar umbi. Justeru, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan daripada RM100,000 kepada RM150,000 untuk keperluan pembangunan tadika di sekolah Tamil; RM100,000 kepada RM150,000 untuk Tabung Khas Sekolah Tamil dan sekolah Punjabi menerima RM90,000 berbanding RM60,000 sebelum ini.
Hari ini, kita boleh berbangga dengan transformasi dilaksanakan yang mana sekolah-sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang adalah antara yang terbaik di negara ini membabitkan akses kepada kemudahan asas serta infrastruktur fizikal yang lengkap termasuk meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah-sekolah. Dalam pada itu, suka juga saya maklumkan bahawa sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang telah dibekalkan dengan kemudahan ICT termoden seperti komputer, projektor paparan kristal cecair (LCD), projektor visual, peranti SWIPE dan Papan Pintar Pembelajaran Abad Ke-21.
Sempena sambutan perayaan yang mulia ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh masyarakat India yang beragama Hindu khususnya di Pulau Pinang dengan harapan agar ia dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dan jalinan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Selamat menyambut perayaan Thaipusam. Vel! Vel!