Skip to content

Perutusan sambutan Thaipusam oleh Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar, George Town pada 28 Januari 2021

Setiap tahun, sambutan Thaipusam memperlihatkan warna-warni nilai perpaduan, saling hormat-menghormati dan toleransi dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 telah mengubah keseluruhan landskap serta kelaziman perayaan Thaipusam pada tahun ini khususnya di Pulau Pinang, bagaimanapun, ibadat bersembahyang masih boleh dilakukan di kediaman masing-masing.

Dalam usaha untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini, Kerajaan Negeri pada tahun ini memperuntukkan RM1.5 juta kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) bagi pelaksanaan kepelbagaian projek merangkumi aspek keagamaan, pendidikan, perubatan, pembangunan dan tanah-tanah perkuburan Hindu dipulihkan serta diguna pakai secara baik untuk keselesaan para penganut. Malah, menerusi biayaan biasiswa daripada HEB sejak tahun 2008 sehingga kini, seramai 2,733 pelajar layak telah menerima sumbangan tersebut dengan peruntukan berjumlah RM3,903,599.

Dalam memperkukuhkan agenda pembangunan modal insan selaras tema Belanjawan 2021 Pulau Pinang iaitu ‘Transformasi Pemulihan dan Ketahanan Ekonomi ke Arah Dimensi Baharu Terbilang’, Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); tadika Tamil (RM100,000 kepada RM150,000); Tabung Khas Sekolah Tamil (RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (RM60,000 kepada RM90,000). Serentak itu, tumpuan terhadap pembangunan sains dan teknologi turut dirancakkan dengan inisiatif Coding-For-All serta MakerLab hasil kolaborasi khas Kerajaan Negeri dengan pihak-pihak berkaitan. Dalam tempoh dua tahun sejak 2018, seramai 141,820 pelajar telah berjaya mengikuti pembelajaran berkenaan manakala sebanyak 50 MakerLab telah diwujudkan di seluruh negeri sehingga 2020 dan usaha berkaitan diteruskan pada tahun ini.

Pada aspek pembangunan belia dan sukan, kejayaan jurulatih sukan memanah, Puan G. Shamani yang dipilih sebagai Jurulatih Cemerlang Negeri Tahun 2020 turut memperlihatkan kecemerlangan anak-anak muda berketurunan India di negeri ini. Malah, di bawah program khas Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) juga, seramai 18 atlet berbangsa India kini menerima elaun Latihan Atlet Skuad SUKMA. Di samping itu, turut diwujudkan Insentif Latihan Bulanan Atlet Elit SUKMA Negeri Pulau Pinang dan program Penang Athlete Career Education (PACE) yang secara tidak langsung menyuntik semangat barisan atlet muda negeri dalam bidang akademik tanpa mengira latar belakang.

Umumnya, segala pendekatan diambil Kerajaan Negeri adalah amat berkait rapat dengan Tema C1 dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara iaitu meningkatkan taraf kehidupan khususnya dalam kalangan komuniti rentan serta mengurangkan ketidaksamaan dalam aspek pendidikan bagi memastikan segala perancangan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh demi kelangsungan Negeri Pulau Pinang tercinta.

Bersempena sambutan Thaipusam pada tahun ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh masyarakat India yang beragama Hindu khususnya di Pulau Pinang. Terus titik beratkan penjagaan kendiri, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersama-sama kita putuskan rantaian jangkitan pandemik ini.

Selamat Menyambut Hari Thaipusam! Vel! Vel!