Ingat Bahawa DAP Tidak Hanya Berminat Untuk Menjadi Lebih Baik Berbanding BN. DAP Pulau Pinang Ingin Menzahirkan Satu Model Pentadbiran Baru Untuk Malaysia Berasaskan Institusi Yang Dibina Atas Integriti Dan Berkisar Pada Kecekapan.
Saudara-saudari dari Pulau Pinang,
Selamat Tahun Baru 2014, Selamat Maulidur Rasul, Selamat Hari Ponggal dan Thaipusam serta Selamat Tahun Baru Kuda!
Januari 2014 adalah bulan yang penuh dengan pengumuman penting bagi Pulau Pinang yang sekaligus membuka tirai tahun baru dengan begitu lantang. Kerajaan Negeri telah bertungkus lumus mengejar transformasi Pulau Pinang kepada bandaraya pintar dan antarabangsa yang membenarkan Pulau Pinang untuk melepaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta memastikan kesaksamaan ekonomi dengan pembangunan seimbang dari segi infrastruktur, program ekonomi, bantuan tunai dan melakarkan sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia untuk menghapuskan kemiskinan.
Aspek kebajikan sosial sebagai kerajaan berjiwa rakyat, yang memakan belanja RM150 juta selama 5 tahun, hanya boleh dicapai sekiranya kita mempunyai dana kewangan yang mencukupi. Maka, pengurusan belanjawan yang cekap, bebas rasuah dan berdasarkan prestasi, yang sering dipuji oleh Laporan Ketua Audit Negara sebagai negeri yang paling terurus di Malaysia, telah mengakibatkan lebihan belanjawan, pengurangan hutang dan peningkatan aset yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
Semua kejayaan ini tercapai tanpa apa-apa kenaikan harga pada tahun 2014 oleh Kerajaan Negeri, sama ada dalam cukai tanah, cukai taksiran atau tarif air. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan BN telah memulakan penggal baru dengan kenaikan harga petrol, gula, tarif elektrik dan tol lebuhraya bagi tahun 2014. Justeru, demi mengalihkan perhatian daripada kenaikan harga, UMNO mengapi-apikan sentimen bahawa perkauman dan agama.
Walaupun kita berasa bangga kerana Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengenakan kenaikan harga, kita tidak boleh mengenepikan impak permainan melampau UMNO. Untuk sebab ini, selain daripada menyokong Lembaga Wakaf Hindu, Kerajaan Negeri juga mencadangkan struktur serupa dalam bentuk Lembaga Wakaf Tokong Cina yang tidak akan campur tangan dalam pengurusan and pengendalian tokong Cina yang sedia ada.
Bagi peringkat seterusnya dalam penggal kedua kita sebagai Kerajaan, adalah penting bahawa kita tidak hanya bergantung kepada simpanan dan penjimatan, tetapi juga pada usaha menjana sumber pendapatan. Kerajaan Negeri sedang mendaki rantaian nilai daripada pentadbiran berasaskan belanjawan kepada pentadbiran berasaskan hasil, dengan penekanan bukan sahaja ke atas “nilai untuk wang” tetapi ke atas keberkesanan dalam mencapai hasrat-hasrat pembangunan sosial.
Usaha melepaskan diri daripada perangkap pendapatan sederhana adalah lebih sukar. Matlamat Pulau Pinang untuk mencatat rekod sejarah buat kali kedua dan menjadi negeri berpendapatan tinggi pertama di Malaysia adalah bergantung kepada usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan bagi pembuatan termaju (advanced manufacuturing) dan sektor perkhidmatan, destinasi pilihan pelancong serta habitat pilihan bagi modal insan yang menginginkan kehidupan lestari.
Faktor kejayaan yang kritikal buat Pulau Pinang adalah pembangunan dan usaha menarik modal insan. Ekosistem pendidikan yang bermutu tinggi, dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang boleh dipercayai serta pusat hiburan, seni, budaya, warisan yang dinamik akan membolehkan modal insan yang terbaik untuk hidup, belajar, kerja dan berhibur di Pulau Pinang.
Kita telah mencapai kejayaan awal dengan kedatangan syarikat-syarikat pembuatan termaju dan sektor perkhidmatan. Pulau Pinang merupakan No.1 di Malaysia dari segi pelaburan dari tahun 2010 sehingga Ogos 2013. Citigroup, Air Asia dan Wilmar (gergasi minyak makan yang bernilai USD 45 bilion) sudah pun melabur dalam sektor perkhidmatan di Pulau Pinang. Dari segi pelancongan, kita sekarang mempunyai dua taman tema iaitu Taman Tema Escape serta Taman Tema Air WWW di Batu Ferringhi.
Setelah sekian lama menanti, kita juga akhirnya berjaya menarik IKEA ke Batu Kawan, iaitu Kedai IKEA yang pertama di luar Kuala Lumpur. Kedai pereka premium yang kedua di Malaysia selepas Johor juga akan bertapak di Batu Kawan. Batu Kawan juga akan menjadi tuan rumah kepada universiti seperti KDU dan Hull yang akan menawarkan kursus dalam undang-undang, kejuruteraan, logistik, pengajian perniagaan dan perakaunan.
Pesta dan acara di negeri kita, sama ada Festival Warisan George Town, Tropfest (pesta tayangan singkat No.1 dunia), Festival Jazz Antarabangsa Pulau Pinang serta seni jalanan Ernest Zacharevic adalah terkenal di seluruh dunia. Kebebasan yang diberi kepada bakat-bakat seni, sama ada tempatan atau dari luar, telah menjadikan George Town sebagai “ibukota seni Bohemia” di Malaysia.
Akhir sekali, buat kali pertama dalam sejarah, Pulau Pinang akan membanggakan Malaysia dengan menganjurkan Kejohanan Skuasy Wanita Sedunia buat kali pertama pada bulan Mac 2014. Mari kita semua menyokong Ratu Squasy Dunia dari Pulau Pinang, Dato’ Nicol David, dalam usahanya untuk mencatat sejarah dengan memenangi kejohanan tersebut buat kali ke-8!
Pulau Pinang telah dipilih oleh suratkhabar Guardian di United Kingdom sebagai destinasi pelancongan ke-8 terbaik di dunia, dan satu-satunya dari Asia Tenggara. Pulau Pinang dan Kuala Lumpur juga merupakan lokasi persaraan yang ke-3 terbaik di dunia. Dalam kata lain, kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat bagi menarik modal insan.
Semua ini dimungkinkan oleh semangat pasukan yang kuat, semangat berdedikasi terhadap matlamat serta perpaduan parti yang berdisiplin dan berprinsip di kalangan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP. Sementara kita mengusahakan pentadbiran CAT berasaskan prinsip cekap, akauntabel dan telus, kita sedar bahawa kita bukanlah yang terbaik dan senantiasa perlu meningkatkan diri agar menjadi yang terbaik.
Kita juga harus berhati-hati dan menangkis usaha berterusan musuh-musuh kita yang ingin menghancurkan kepimpinan DAP Pulau Pinang dengan melemahkan semangat pasukan, prinsip, halatuju serta perpaduan parti. Musuh-musuh kita tidak akan berputus asa kerana hadiah yang dipertaruhkan adalah Pulau Pinang, dan mereka akan melakukan apa sahaja demi mengambil balik khazanah ini.
Ingat, DAP tidak hanya berminat untuk menjadi lebih baik berbanding BN. DAP Pulau Pinang ingin mengorak langkah dan menzahirkan model pentadbiran yang baru untuk Malaysia berasaskan institusi yang dibina atas integriti dan berkisar pada kecekapan.
Selama 50 tahun, para pemimpin DAP telah membina budaya integriti, berprinsip serta kesanggupan untuk mengorban diri bagi kepentingan awam. DAP Pulau Pinang dan Pengerusi Negeri Sdr Chow Kon Yeow akan membawa kita semua ke peringkat seterusnya dan membuktikana bahawa kita bukan sahaja pembangkang yang cekap tetapi kerajaan yang lebih baik.
Kita berdiri teguh hanya kerana kita berdiri bersama!