Gong Xi Fa Cai! Syukur, ramai antara kita masih diberikan kesempatan untuk merayakan tahun baharu lunar bersama-sama insan-insan tersayang. Bersempena ‘Tahun Naga’ yang merupakan simbol penting dalam budaya tradisional masyarakat Cina serta melambangkan kekuatan, kemuliaan (nobility) dan membawa tuah, saya mendoakan agar nilai-nilai tersebut dilimpahkan kepada seluruh keluarga Pulau Pinang yang saya cintai sempena sambutan yang penuh bermakna ini.
Sebelum kita menikmati sajian ‘makan besar’ bersama-sama keluarga tersayang pada hari Jumaat (9 Februari), saya menggalakkan agar semua mengambil kesempatan ini untuk merenung kembali dan refleksikan diri kerana sememangnya tahun lalu telah menjadi guru terbaik kepada kita, yang mana kita berjaya mengatasi pelbagai cabaran pada tahun 2023 dan ia telah menjadi salah satu sebab untuk kita menjadi lebih kuat pada tahun ini.
Kedatangan tahun 2024 tentunya membuka lembaran baharu kepada seluruh warga negeri Pulau Pinang, dan adalah diharapkan ia boleh menjadi satu pendorong kepada semua masyarakat di Pulau Pinang untuk bergerak dengan lebih maju dalam apa jua bidang bagi mencipta serta merencana masa depan yang lebih cemerlang.
Pada awal tahun ini, hampir seluruh rakyat Pulau Pinang telah diuji dengan gangguan bekalan air ekoran kerja-kerja menggantikan injap serta insiden paip bocor di dasar Sungai Perai. Ketika kejadian berlaku, saya amat tersentuh dan bersyukur apabila menyaksikan semangat komuniti serta perpaduan yang begitu mekar dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dalam bersama-sama mengharungi cabaran berkaitan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan juga fahaman politik. Di sini, saya dapat melihat rakyat kini sedar akan betapa bernilainya sumber air kepada kehidupan kita, dan adalah menjadi harapan saya agar ia menjadi suatu permulaan bagi semua pihak untuk meningkatkan kesedaran berhubung penggunaan air dengan lebih cermat, sebagai sumber yang terhad dan amat bernilai.
Di Pulau Pinang, nilai kerukunan, keharmonian dan toleransi terus menjadi teras terhadap kesejahteraan yang telah lama tersulam di negeri ini dengan menitikberatkan keberhasilan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri secara amnya. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut komited dalam merangka serta melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri dan seterusnya memastikan gagasan Visi Penang2030 berada pada landasan yang betul. Serentak itu, Kerajaan Negeri turut serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi lain-lain sumber demi terus memacu pembangunan negeri ini secara menyeluruh bagi memastikan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang mampan sejajar ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kerajaan Negeri percaya bahawa usaha menarik lebih ramai pelabur serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti bagi tahun 2024 akan mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat serta keharmonian sesama kaum di negeri ini. Dalam pada itu, modal insan yang merupakan tulang belakang dalam memacu pembangunan negeri sentiasa menjadi fokus utama saya. Sebagai rekod, Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan bantuan kewangan pendidikan pada tahun ini berjumlah RM9 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Cina Persendirian dan juga sekolah mubaligh. Sementara itu, bagi pengurusan hal ehwal bukan Islam pula, menerusi Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Kerajaan Negeri, sejak tahun 2016 sehingga 2023, sejumlah RM10,005,919.32 telah dilulus dan disalurkan untuk kerja-kerja naik taraf serta pembangunan perlu tokong-tokong seluruh negeri ini.
Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua pihak khususnya kepada mereka yang berketurunan Cina dengan harapan dan doa agar kita semua dapat terus mengekalkan keharmonian demi mencapai kejayaan yang lebih baik untuk negeri kita cintai ini.